Atlet kebangsaan, Siti Nooriasah Mohamad Ariffin yang meraih pingat emas acara 400m Wanita T20, masih menyengat walaupun selepas lapan tahun berehat daripada arena olahraga.

Siti Nooriasah ternyata lebih pantas daripada lawannya apabila berjaya mencatatkan rekod satu minit, 2.45 saat di Stadium Utama Asiad Incheon.

Pingat perak acara itu diraih oleh Mai Iwakiri dari Jepun dengan catatan masa 1:06.23s manakala seorang lagi atlet Jepun, Sayaka Makita meraih pingat gangsa (1:10.07s).

"Alhamdulillah...selepas tahun 2006 saya berehat, kemudian kembali...saya masih mampu hadiahkan pingat emas kepada negara. Ini semua hasil usaha jurulatih dan semua kawan-kawan yang banyak menyokong saya," katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Kegembiraan itu juga turut dikongsi bersama suaminya, Muhammad Hafiz Abu Bakar yang juga merupakan atlet lontar peluru dan lempar cakera F37.

Pada hari pertama acara olahraga dipertandingkan, Siti Nooriasah berjaya meraih pingat perak melalui acara Lompat Jauh Wanita T20.

Sehingga kini, olahraga berjaya mengumpulkan tujuh pingat emas, lima perak dan lima gangsa pada temasya Sukan Para Asia di sini.