PUTRAJAYA: Berdasarkan prestasi semasa, juara bertahan Nor Sarah Adi dijangka tidak berdepan masalah untuk mempertahankan pingat emas acara lompat bergalah pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, Mei ini.

Keyakinan itu dilontarkan Ketua Jurulatih Olahraga negara Zaki Sadri yang memaklumkan bahawa pencapaian cemerlang pemenang pingat emas Sukan SEA di Hanoi tahun lepas itu turut mengambil kira kejayaannya meraih pingat perak di Kejohanan Olahraga Tertutup Taiwan, pada Mac lepas.

"Kalau ikut prestasi semasa, (Nor) Sarah masih lagi relevan (untuk sasaran emas) kerana dia baru mengambil bahagian di Taiwan dan prestasi masih konsisten.

"Kita harap (Nor) Sarah boleh fokus untuk memastikan kekalkan pingat emas untuk negara di Sukan SEA," katanya ketika ditemui pemberita pada Bengkel Penetapan Sasaran Pingat Temasya Sukan SEA Kemboja di sini hari ini.

Zaki berkata atlet berusia 22 tahun itu kini di bawah bimbingan bekas atlet lompat bergalah wanita kebangsaan, Roslinda Samsu.

Beliau berkata pada masa kini, Nor Sarah diminta untuk memberi fokus dalam latihan bagi acara 4x100 meter (m) bersama jurulatih Mohd Poad Md Kassim sebelum ke temasya dwitahunan itu.

Pada edisi di Hanoi, Nor Sarah meraih gangsa dalam acara berkenaan, namun cemerlang membawa pulang emas bagi acara lompat bergalah.

Sementara itu, pengurus pasukan olahraga ke Sukan SEA 2023, Datuk R. Annamalai berkata skuad negara tekad mengatasi pencapaian pada edisi lepas di Hanoi dengan meraih lima pingat emas, dua perak dan lima gangsa.

"Sasaran diletakkan pada pasukan olahraga tidaklah lebih daripada 10 pingat emas. Selepas bengkel ini kita akan putuskan berapa kita akan capai, tapi memang lebih daripada di Hanoi," katanya.

Sementara itu, beliau tidak meletakkan harapan tinggi dalam acara 100 meter lelaki susulan ketiadaan pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi, namun berharap atlet lain mampu membuat kejutan di temasya sukan tersebut.

-- BERNAMA