Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata pihaknya kini dalam usaha mencari stadium itu di sekitar Lembah Klang, namun masih belum memutuskan sama ada memilih stadium sedia ada untuk ditambah baik atau membina stadium baharu.
"Kita perlu lihat dua perkara sama ada memang nak guna untuk perlawanan atau stadium untuk kegunaan akademi atau latihan. Tapi kita mesti nak Stadium Sepak Takraw Malaysia, kapasiti 2,000 hingga 5,000, namun masih dalam proses perbincangan. Tiada garis masa dapatkan stadium itu.
"Biarlah nama itu jadi Stadium Sepak Takraw kerana setidaknya Malaysia membawa imej sukan tradisi kita. Itu perbincangan bersama dengan Hannah Yeoh dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Liga Sepak Takraw 2024 di sini semalam.
Jun lepas, Mohd Sumali berkata sudah tiba masanya diwujudkan stadium khas untuk sepak takraw terutama bagi menganjurkan kejohanan-kejohanan besar, susulan prestasi cemerlang skuad negara dan kejayaan menganjurkan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa di sini, Mei lepas.
Sementara itu, Mohd Sumali berkata PSM sedang mempertimbangkan untuk memilih sama ada Axiata Arena di Bukit Jalil atau Stadium Titiwangsa di sini sebagai venue untuk kejohanan Piala Asia 2025.
"Memang menjadi kehendak ramai untuk dibuat di Axiata kerana besar, tetapi adakah sesuai? Untuk dalam keadaan sekarang, mungkin final, separuh akhir, kita boleh penuhkan tapi di peringkat awal nanti nampak kosong sangat.
"Tapi saya belum tengok secara lebih terperinci. Kalau Titiwangsa, memang kita sudah biasa, sepak takraw ini sudah banyak kali diadakan di Titiwangsa. Dengan kapasiti penonton 2,000 memang sesuai untuk masa ini," katanya.
Julai lepas PSM telah menerima tawaran Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2025 yang diperkenalkan buat julung kalinya setelah kejayaan menganjurkan Piala Dunia.
-- BERNAMA