KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan berharap agar Belanjawan 2025 dapat memberikan nafas baharu kepada pembangunan sukan sepak takraw di negara ini.

Mohd Sumali berkata bahawa dana daripada kerajaan sangat penting untuk memastikan sukan tradisi masyarakat Melayu ini terus berkembang dan mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

"Saya berharap agar belanjawan kali ini akan memberi perhatian yang sewajarnya kepada pembangunan sukan sepak takraw. Sukan ini semakin diminati dan sedang menunjukkan kemajuan yang pesat. Kami juga sedang dalam persiapan untuk beberapa kejohanan besar.

"Saya berharap peruntukan untuk penubuhan akademi pembangunan sukan sepak takraw dapat disediakan segera kerana hasilnya pasti dapat dilihat dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata tanpa bantuan kerajaan dalam aspek pembangunan dan penubuhan akademi sepak takraw, ia akan merencatkan perancangan untuk mengembangkan lagi sukan yang sememangnya popular di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Mohd Sumali turut berharap agar pembinaan sebuah stadium khusus untuk sepak takraw akan diberikan pertimbangan serius dalam Belanjawan 2025.

"Kami tidak meminta stadium yang terlalu besar dan memerlukan kos yang tinggi, memadai dengan kapasiti sederhana. Ia juga boleh dinamakan sebagai Stadium Sepaktakraw Malaysia," katanya.

Selain itu, beliau juga berharap kejayaan yang dikecapi skuad kebangsaan pada kejohanan utama seperti Piala Dunia akan turut diambil kira oleh kerajaan sebagai satu dorongan untuk memberikan perhatian dalam Belanjawan 2025.

PSM sebelum ini berjaya menganjurkan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa di sini, dengan Malaysia meraih dua pingat emas masing-masing dalam acara regu dan double lelaki.

Kejohanan tersebut juga berjaya menarik kehadiran penonton yang luar biasa.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 18 Okt ini.

-- BERNAMA