KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terus memperkasa program pembangunan peringkat akar umbi dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat baharu apabila merancang memperkenalkan Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSDP) tahun depan.

Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata NSDP iaitu kesinambungan kepada program pembangunan sedia ada di pelbagai peringkat akan tampil dengan pendekatan lebih menyeluruh dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Pendidikan (KPM).

"Program pembangunan akar umbi ikutkan memang sudah berjalan namun kita mahu gabungkan kesemua elemen tersebut di bawah NSDP bagi memastikan program pembangunan ini diperkembang.

"Apa yang penting kerjasama kita lakukan ini merupakan perkara penting supaya perjalanan pembangunan betul-betul berada di landasan sama," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Bengkel Program NSDP, di sini hari ini.

Menurut Mohd Sumali, badan induk sepak takraw itu sudah lama mengimpikan sukan tersebut berdiri sama hebat dengan sukan lain yang mempunyai program pembangunan tersendiri seperti hoki (NHDP), bola sepak (NFDP), ragbi (NRDP) dan bola jaring (NNDP).

"Kali ini kita serius dan bengkel hari ini juga mendapat sambutan baik dengan kehadiran hampir semua persatuan negeri, wakil MSN dan KPM.

"MSN sedia membantu daripada sudut mana yang mereka boleh bantu baik dari segi kelengkapan, penganjuran kejohanan dan sebagainya," katanya.

Terdahulu, bengkel selama dua hari itu yang membincangkan penstrukturan, peranan dan kaedah pelaksanaan NSDP itu dirasmikan Pengarah Bahagian Bakat dan Pembangunan MSN, Mohd Safrushahar Yusoff mewakili Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub.

Mohd Sumali berkata selepas memperoleh resolusi menerusi bengkel tersebut, pihaknya akan membuat rumusan selain kertas kerja yang akan dibentangkan kepada MSN serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum NSDP diperkenalkan secara rasmi.

-- BERNAMA