KUALA LUMPUR: Menjelang pertembungan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada Jumaat malam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin mengambil kesempatan mengucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua pasukan itu.

Menerusi sebuah video di Facebook Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Muhyiddin turut mengucapkan selamat berjuang kepada semua pasukan yang terbabit dalam Liga Super dan Liga Perdana yang akan bermula Sabtu ini.

"Selamat bertanding dengan semangat kesukanan dan mudah-mudahan dengan cara ini sukan di negara ini terus bersemarak," katanya.

Antara lain, Perdana Menteri turut memberi harapan kepada penyokong untuk hadir ke stadium secara berperingkat sekiranya kes penularan COVID-19 berjaya diturunkan pada masa akan datang.

"Mungkin juga di masa akan datang apabila keadaan mengizinkan, maka kita bolehlah membenarkan kehadiran penonton di stadium. Mungkin secara berskala kecil atau berperingkat jika kes COVID-19 dapat kita turunkan.

"Ini bagi saya amat penting supaya sukan bola sepak yang merupakan sukan nombor satu di negara kita ini kembali semula gemilang dan penonton akan dapat terbabit sama meraikan permainan bola sepak yang menjadi satu kebanggaan bagi kita semua," katanya lagi.

 
Sumber Facebook malaysianfootballleague