TyC Sports melaporkan Deschamps sedar sokongan ditunjukkan oleh warga Perancis terhadap pasukan Argentina dilihat luar biasa.
Ini kerana salah satu faktor sokongan beralih ke Argentina memandangkan ini perlawanan terakhir buat Lionel Messi.
"Saya sedar banyak sokongan untuk Argentina kali ini. Kami tahu majoriti stadium akan menyokong mereka, sama ada kerana mereka warga Argentina atau kerana mereka menyukai pasukan itu atau beberapa pemain.
“Bahkan, beberapa orang PErancis ingin Argentina menang, tetapi kami akan melakukan yang terbaik untuk menang. Kami harus melakukan segala yang mungkin untuk menyesuaikan diri iaitu tetap tenang dan tujuan kami untuk menang Piala Dunia 2022,” kata Deschamps.
Penyerang kelab Liga Mexico Tigres, Andre-Pierre Gignac dilaporkan merupakan salah seorang warga Perancis yang mahu pasukan Argentina memenangi Piala Dunia 2022.
"Hari ini di Argentina mereka mahu memenangi Piala Dunia untuk Messi. Saya orang Perancis, tetapi saya mahu Messi menjulang Piala Dunia kerana dia berhak mendapatnya, sepanjang kariernya," kata Gignac.
Terdahulu, Messi memaklumkan bahawa Piala Dunia di Qatar akan menjadi Piala Dunia terakhirnya dan aksi malam ini penting kerana satu-satunya peluang untuk menebus kekecewaan muncul naib juara pada edisi 2014.