MOSCOW: Buenos Aires meminta Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Venezuela Nicolas Maduro, menurut kenyataan Kementerian Luar Argentina, lapor Sputnik.

"Memandangkan situasi di Republik Bolivarian Venezuela semakin buruk sejak 28 Julai lalu dan pelaksanaan akta baharu yang boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan, Argentina menggesa Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk meminta Dewan Pra-Perbicaraan mengeluarkan waran tangkap terhadap Nicolas Maduro dan pemimpin lain rejim itu," menurut kementerian itu pada Jumaat.

Rakyat Venezuela mengundi dalam pilihan raya presiden pada 28 Julai, dengan Maduro diisytiharkan sebagai pemenang dengan lebih 51 peratus undi.

Pihak pembangkang mendakwa memperoleh kemenangan besar, merujuk kepada helaian keputusan yang diperoleh dari pusat pengundian seluruh negara.

Ia kemudiannya mencetuskan protes besar-besaran oleh pembangkang.

Lebih 2,000 orang ditahan atas tuduhan menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur negara, hasutan kebencian dan keganasan.

Kemenangan Maduro dipersoalkan oleh Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa negara Amerika Latin.

Presiden Argentina, Costa Rica, Ecuador, Guatemala, Panama, Paraguay, Peru, Republik Dominican, dan Uruguay mengeluarkan kenyataan bersama menuntut pengiraan semula undi oleh pemerhati bebas.

Sebagai tindak balas, Caracas memanggil pulang diplomatnya dari negara-negara terbabit dan mengarahkan diplomat mereka meninggalkan Venezuela.

-- BERNAMA