KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata kesinambungan dan keberkesanan adalah penting dalam kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan keputusan Tan Sri Hamidin Mohd Amin untuk tidak mempertahankan jawatan presiden badan induk itu.

Beliau berkata meskipun perubahan adalah sesuatu yang biasa dalam dunia sukan, ia perlu dilakukan secara terancang supaya tidak menjejaskan perancangan sedia ada.

“Saya lihat perubahan dalam sukan memang satu perkara yang biasa, cuma perlu ada kesinambungan... bermaksud pimpinan lama keluar, pimpinan baharu mesti ada kelestarian.

"Jadi, saya tak nak apa-apa perancangan terganggu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Datuk Chu Ah Nge di Annex Sukan Bukit Kiara Kelab Diraja Selangor di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Hamidin dan penstrukturan baharu pasukan kebangsaan serta skuad muda negara yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Hannah juga berharap FAM terus komited dalam melakukan perubahan positif dan mengekalkan prestasi yang baik bagi mencapai sasaran peningkatan mutu bola sepak negara.

"Ini kerana sokongan kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah untuk melihat Harimau Malaya mempunyai prestasi yang semakin meningkat. Jadi, perubahan itu okey cuma kena pastikan ia akan mendatangkan hasil yang bagus,” katanya.

Pada masa sama, Hannah berkata Hamidin belum bertemu dengannya seperti yang dirancang namun menghormati keputusan itu kerana percaya beliau mempunyai alasan tersendiri untuk tidak bertanding semula.

Rabu lepas, Hamidin yang menduduki kerusi nombor satu FAM sejak Julai 2018 mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya pada Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 yang dijadual berlangsung pada 15 Feb 2025.

Beliau membuat keputusan itu kerana mahu memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk melonjakkan FAM ke tahap yang lebih tinggi.

Hannah turut memuji penganjuran Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Datuk Chu Ah Nge, yang memasuki edisi ke-18, antaranya kerana berjaya menghimpunkan 120 pasukan termasuk dari luar seperti Indonesia, Brunei, Singapura dan Maldives.

-- BERNAMA