ARSENAL 1 MAN CITY 0

Mikel Arteta merujuk kekalahan kepada Manchester City pada April lalu yang secara tidak langsung memusnahkan harapan mereka untuk bergelar juara musim lalu sebagai pengalaman berharga sebelum meleburkan badi lapan tahun untuk menewaskan seteru itu.

Walaupun perit, pengurus Arsenal itu percaya kemenangan 1-0 awal pagi tadi juga didorong oleh kekecewaan lalu sambil memuji prestasi anak buahnya ketika menumpaskan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) melalui penyudah Gabriel Martinelli pada minit ke-86.

"Kami tewas dalam dua cara berbeza musim lalu walaupun kami yang beraksi lebih baik terutama dalam separuh masa pertama.

"Dan kami melepaskan gol akibat hantaran ke belakang Takehiro Tomiyasu lalu Kevin De Bruyne mengambil kesempatan untuk meledak gol. Hari ini kami menunjukkan kematangan sebenar yang diasah melalui pengalaman.

"Kadang-kadang anda memerlukannya untuk menjadi pasukan yang lebih baik."