LONDON: Southampton memecat pengurus Russell Martin selepas kekalahan memalukan 5-0 di laman sendiri kepada Tottenham pada Ahad.

Martin, 38, berpindah ke St Mary's dari Swansea pada musim panas lepas dan membawa pasukan itu kembali ke Liga Perdana setelah berjaya menewaskan Leeds dalam perlawanan akhir Play-Off Kejuaraan.

Namun, Martin menghadapi kesukaran sejak kenaikan Southampton, dengan kekalahan memalukan di tangan Spurs pada Ahad menjadi punca utama keputusan pemecatannya, ketika pasukan itu kini berada di tangga terbawah Liga Perdana dengan hanya lima mata selepas 16 perlawanan.

Kelab itu berkata dalam satu kenyataan: "Kami boleh mengesahkan bahawa kami telah membuat keputusan sukar untuk berpisah dengan Pengurus Pasukan Utama Lelaki kami, Russell Martin," lapor PA Media.

Menurut kenyataan Southampton: "Ketika memulakan musim ini, kita semua tahu cabaran yang akan dihadapi oleh pasukan ini ketika menyesuaikan diri dengan kehidupan di liga teratas, bersaing dalam liga terbaik dan paling kompetitif di dunia.

"Namun, realiti situasi kami adalah jelas. Lembaga Pengarah telah memberi sokongan kepada Russell dan stafnya serta terbuka dan telus mengenai harapan kami.

"Kita semua berada di halaman yang sama dalam mengakui keperluan mendesak untuk memperbaiki keputusan."

"Kami ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Russell dan stafnya atas segala usaha keras dan dedikasi yang telah mereka berikan kepada kelab ini di dalam dan luar padang selama 18 bulan yang lalu.

"Semua yang terlibat dengan Southampton FC akan sentiasa mengingati kenangan indah musim lalu, terutamanya kemenangan Play-Off Final pada Mei."

--BERNAMA-PA Media/dpa