PENDAHULU Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool melebarkan status di puncak apabila membelasah Tottenham Hotspur, 6-3 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur.

Gol Liverpool dijelmakan Luis Diaz (m-23, m-85), Mohamed Salah (m-45, m-61), Alexis Mac Allister (m-36), dan Dominik Szoboszlai (m-46) manakala jaringan Tottenham dihasilkan James Maddison (m-41), Dejan Kulusevski (m-72) serta Dominic Solanke (m-83).

Tiga mata diraih The Reds kendalian Arne Slot itu membolehkan kelab Merseyside berkenaan berada empat mata kurang satu permainan di depan pesaing terdekat Chelsea yang mengumpul 35 mata.

Chelsea asuhan Enzo Maresca sebelum itu terlepas peluang menghimpit Liverpool apabila terikat tanpa jaringan ketika mengadakan kunjungan ke Stadium Goodison Park mementang Everton.

Sementara itu, Salah yang menjaringkan dua gol dalam tujuh minit separuh masa kedua, melepasi pemain hebat Liverpool, Billy Liddell dalam senarai penjaring sepanjang zaman kelab dengan gol ke-14 dan ke-15 liga musim ini.

“Ya, saya amat gembira dan bangga, saya akan terus bekerja keras untuk pasukan ini.

"“Kami cukup bagus di bahagian depan tetapi cara bertahan kami perlu diperbaiki diri sebagai satu pasukan.

"Biarpun begitu ia satu keputusan yang agak baik, dan diharapkan kami konsisten meneruskannya,” kata penjaring keempat prolifik Liverpool dengan 229 gol berkenaan.

Liverpool selepas ini akan menanti kunjungan Leicester City di Stadium Anfield (27 Disember), kemudian ke London menentang West Ham United (30 Disember) diikuti Manchester United (6 Januari) sebelum membuka gelanggang Pusingan Ketiga Piala FA, menentang Accrington Stanley, kelab Divisyen Empat berpangkalan di Lancashire, England. - Sinar Harian