Kedua-dua pasukan tampil ke bumi Birmingham dengan misi sama meraih kemenangan dengan Aston Villa kendalian Unai Emery, mencari semula rentak tiga mata selepas tumbang 1-2 kepada Nottingham Forest semasa kunjungan ke Stadium City Ground, pada Ahad lalu.
Manchester City bimbingan Pep Guardiola pula tampil mencari tonik kemenangan dijelmakan ketika menewaskan Nottingham Forest, 3-0 selepas kemarau tiga mata dalam tiga perlawanan pelbagai pertandingan dengan terakhir tewas 1-2 kepada Manchester United (EPL), 0-2, Juventus (Liga Juara-Juara) seri 2-2 Crystal Palace (EPL) pada 5 Disember.
Pemain kelahiran Zaragoza, Antioquia, Colombia, Jhon Duran yang menyertai kelab berpangkalan di Aston, Birmingham pada Januari 2023 itu menghadirkan gol minit ke-16 seterusnya gol ketujuh musim ini selepas menyudahkan sentuhan Morgan Rogers sekali gus menewaskan penjaga gol The Citizens, Stefan Ortega.
Rogers yang menjadi arkitek dalam menjelmakan gol pertama buat The Villans sekali lagi menjadi duri dalam daging buat angkatan Guardiola apabila meledak jaringan kedua minit ke-65, juga jaringan kelima musim ini menewaskan sekali lagi menewaskan Ortega.
Manchester City kemudian berusaha bangkit memberikan tekanan akhirnya berjaya merapatkan jurang kedudukan hasil jaringan pemain tengah Phil Foden pada minit ke-93 untuk keputusan memihak kepada Aston Villa, 2-1 sekali gus berada di tangga kelima liga dengan 28 mata manakala The Citizens, di kedudukan keenam dengan 27 mata selepas mengharungi 17 perlawanan.
Aston Villa selepas ini akan berkunjung ke St James's Park berdepan Newcastle United manakala Manchester City pula melayan kunjungan Everton di Stadium Etihad pada Khamis. - Sinar Harian