The Citizens bimbingan Pep Guardiola yang dibarakan kemenangan 3-0 ke atas Nottingham Forest di Stadium Etihad pada 5 November lalu terlebih dulu ketinggalan seawal minit keempat hasil ledakan Munoz.
Erling Haaland kemudian mengetuai kebangkitan Manchester City apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-30 untuk mengikat separuh masa pertama dengan keputusan 1-1 buat kedua-dua pasukan.
Separuh masa kedua, Manchester City tampil lebih kemas dalam menggerakkan unit pasukan tersebut bagi memburu jaringan tiga mata untuk menghidupkan kembali api perjuangan mengekalkan kejuaraan.
Begitupun, skuad kendalian Oliver Glasner, tidak berputus asa kembali memimpin permainan menerusi jaringan Maxence Lacroix pada minit ke-56 kemudian diikat dengan jaringan penyamaan Rico Lewis minit ke-68 sebelum dibuang padang minit ke-84.
Sementara itu, Guardiola menyifatkan Manchester City tidak boleh memikirkan untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana kelima berturut-turut setelah The Citizens kembali terperangkap dalam prestasi buruk.
"Kami mengambil satu mata. Kami bertarung dengan luar biasa dan bangkit dua kali. Ia adalah musim untuk menderita.
"Kami akan lihat apa yang berlaku dalam beberapa bulan terakhir. Dan ketika ini kami tidak boleh bercakap tentang perlumbaan kejuaraan apabila kami tewas empat perlawanan berturut-turut dan seri. Kami akan cuba memulihkan pemain-pemain yang cedera terlebih dulu," kata Guardiola.
Manchester City akan kembali ke gelanggang Liga Juara-Juara menentang gergasi Serie A Itali, Juventus di Stadium Allianz, Turin pada Khamis sebelum melayan kunjungan Manchester United dalam Derbi Manchester Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad pada 16 Disember. - Sinar Harian