KUCHING: Pemain boling padang Pulau Pinang Mohd Firdaus Ab Rahman menyambar pingat emas terakhir temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di sini selepas memenangi acara perseorangan lelaki B8 (kecacatan fizikal) hari ini.

Mohd Firdaus menafikan hasrat Mohamad Syamil Mohamad Fauzi dari Perlis yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak menerusi keputusan 21-10 di Arena Lawn Bowls Sarawak, di sini.

Atlet berusia 37 tahun yang lumpuh tangan kiri selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2006, menyifatkan pencapaian tersebut amat istimewa apabila bukan sahaja meraih emas kelimanya sejak mula beraksi pada edisi 2008, malah menyumbang pingat emas kesembilan dan terakhir buat kontinjen Pulau Mutiara kali ini.

"Pada mulanya agak gementar kerana persembahan atlet Perlis tahun ini juga cemerlang namun Alhamdulillah rezeki akhirnya berpihak kepada saya," katanya kepada Bernama sejurus selepas perlawanan final hari ini.

Bapa kepada dua cahaya mata itu juga merancang untuk membuat pelaburan emas seandainya menerima insentif wang kemenangan dari negerinya.

Mohd Firdaus yang mula melabur dalam emas sejak 2017 itu optimis pelaburan jangka panjang tersebut mampu membawa keuntungan besar buatnya pada masa depan.

"Nilai emas tidak jatuh. Harga emas dahulu murah sekarang sudah makin tinggi. Tidak rugi simpan," katanya yang memiliki perkhidmatan membaiki barangan elektronik.

Berkongsi detik hitam yang mengubah hidupnya sebelum ini, beliau pada mulanya menyangkakan masa depannya gelap berikutan kemalangan di Kepala Batas yang terjadi sewaktu pulang bertugas dari kilang.

Bagaimanapun, perjumpaan bersama pengurus pasukan boling padang Pulau Pinang pada 2008 mengembalikan semula semangat hidupnya sehingga dapat menikmati kejayaan di Para SUKMA 2024.

Mohd Firdaus pada masa sama berharap dapat terus berjuang selain berhasrat untuk mempertahankan emas pada edisi seterusnya di Selangor.

Sementara itu, tuan rumah, Sarawak muncul juara keseluruhan dengan 82 emas, 53 perak dan 74 gangsa sekali gus merampas takhta tersebut dari Sabah yang menduduki tangga kedua carta pungutan pingat (62-42-32) dan Johor muncul pasukan ketiga terbaik (33-35-29) daripada keseluruhan 15 kontinjen bertanding.

Para SUKMA 2024 yang dibuka secara rasmi Ahad lepas melabuhkan tirainya di Stadium Perpaduan, di sini, malam ini.

-- BERNAMA