Firdaus Fariduddin, 25, yang kehilangan kaki kanan akibat kemalangan itu mengakui tanggungjawabnya semakin berat sebagai satu-satunya lelaki dalam keluarga selepas kehilangan bapanya, Noordin Aziz, ketika berusia tiga tahun.
Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata beliau mula merasakan sukan renang 'sebati' dengan dirinya pada usia 17 tahun hasil dorongan kenalan ibunya yang menasihatinya agar tidak tenggelam dalam kedukaan dan terus melangkah ke hadapan.
"Harap dapat sertai pasukan kebangsaan jadi duit daripada situ dapat bantu mak hidup senang. Macam sekarang nama saya ada dengan mereka sebab kalau ada apa-apa kursus, pasukan kebangsaan akan panggil. Mak pula sekarang bekerja sebagai tukang cuci pejabat dan sekarang kami tinggal di flat tingkat empat tiada lif.
"Dalam sebulan saya akan habis RM200 ke RM300 untuk latihan dan semua itu guna duit sendiri sebab pasukan Pulau Pinang tidak dapat gaji. Kebanyakan duit daripada mak ataupun hasil rumah sewa saya beli guna duit pampasan kemalangan," katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian pingat di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini hari ini.
Firdaus Fariduddin yang mewakili Pulau Pinang dalam acara 50 meter gaya bebas S9 (kecacatan fizikal) merekodkan 32.50 saat (s) ketinggalan di belakang wakil Selangor, Muhammad Safwan Suhaimi yang menggenggam emas dengan catatan 29.47s.
Atlet tuan rumah Mully Andriano pula meraih gangsa dengan catatan 34.14s.
Sementara itu, Jumabee, 64, berkata hatinya masih luluh sekiranya mengenang detik malang menimpa anaknya yang mesra disapa 'adik' itu, yang dirempuh sebuah lori ketika berada di bahu jalan akibat bas yang dinaiki mereka rosak setelah melanggar lori pasir.
"Mak cik ingat lagi kaki adik macam 'roti jala' masa itu dan masa masuk bilik pembedahan, hanya ibu jari kaki kiri dia bergerak dan yang lain sudah mati. Doktor pula tanya kamu sayang nyawa anak atau kaki anak?
"Bayangkan mak cik seorang tanpa suami, memang macam orang tak betul tapi masa itu tawakal sahaja. Jadi mak cik tanda tangan sahaja (borang keizinan pembedahan/prosedur) dan masih ingat masa itu adik menjerit mahukan arwah bapanya," katanya yang kali pertama hadir di temasya dwitahunan itu untuk memberikan sokongan kepada anaknya.
-- BERNAMA