Nyalaan obor temasya oleh Bonnie, yang masih segar dengan kejayaan mempertahankan emas kategori 72 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Paralimpik Paris 2024, menandakan bermulanya perjuangan lebih 1,200 atlet dari 15 kontinjen bertanding pada temasya dwitahunan itu.
Selain kemunculan atlet kelahiran Serian itu, pertunjukan pancaran cahaya laser yang melatari sebahagian besar majlis pembukaan berlangsung penuh gilang-gemilang dihadiri kira-kira 3,000 hadirin dan dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Turut hadir isteri Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Terdahulu, majlis pembukaan dimulakan menerusi segmen 'Semangat Juang' yang memaparkan antara lain persembahan oleh dua orang kurang upaya, kumpulan silat Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo dan paluan gendang oleh lapan wakil Persatuan Tabaubrian Singa dan Naga Drum.
Acara diteruskan dengan perarakan masuk kontinjen bertanding dimulakan dengan Terengganu dan diakhiri Sarawak yang mendapat sorakan gemuruh penyokong tuan rumah di dalam stadium.
Selepas ucapan aluan oleh Abang Johari dan Hannah disusuli simbolik perasmian oleh Wan Junaidi yang menyentuh peranti 'Ipad' di pentas utama, bendera Para SUKMA pula kembali berkibar megah di Bumi Kenyalang selepas lapan tahun dan dinaikkan anggota Tentera Diraja Laut Malaysia.
Atlet tuan rumah Leeyendy Jisen Abdullah dari sukan olahraga kemudian mengambil tempat melafazkan ikrar bersama Arang Kanna Sondarajan yang mewakili pegawai teknikal Para SUKMA 2024 sebelum kontinjen bergerak keluar dari arena.
Kehangatan diteruskan dengan alunan sape yang mengasyikkan halwa telinga penonton oleh Alena Murang diikuti paduan suara penyani kelahiran Bumi Kenyalang, Bob Yusof yang mendendangkan lagu 'When You Tell Me That You Love Me'.
Tumpuan beralih kepada gabungan bekas atlet dan atlet Sarawak terdiri Paralimpian dari sukan renang, Jamery Siga, Batricia Richael Santau (olahraga), Fatimah Wagimin (powerlifting) dan Ting Ing Hock (ping pong) yang mengiringi Bonnie untuk membawa dan menyalakan obor.
Persembahan tarian tradisional kreatif 'Segulai Sejalai' oleh barisan penari kanak-kanak diikuti pertunjukan bunga api di luar stadium yang menghiasi langit di sini melengkapkan malam indah majlis pembukaan tersebut.
Sebanyak 328 pingat emas daripada 10 jenis sukan iaitu olahraga, powerlifting, badminton, renang, ping pong, boling padang, memanah, boccia, tenpin boling dan catur menjadi buruan atlet pada Para SUKMA 2024.
-- BERNAMA