Pengerusi Majlis Sukan Labuan Rithuan Ismail berkata pingat emas disasarkan menerusi tiga atlet iaitu Risabel Rozell Parinus yang bertanding dalam acara 100 meter (m) T36, Labo Taulim (renang gaya bebas 50m dan 100m S9) dan Avirinda Anis (Boccia BC2).
"Kami berharap atlet kami akan membawa kemenangan dan kebanggaan untuk sukan Labuan," kata beliau pada majlis penyerahan bendera kontinjen Para SUKMA Labuan, di sini semalam.
Rithuan berkata Labuan juga berharap Rafli Suhaili yang bertanding dalam acara powerlifting 49 kilogram, Geofrezer (lompat jauh F20) dan Labo Taulim (renang rampaian 200m S9) untuk membawa pulang perak.
Sementara itu Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan Mahanum Fauzi berkata atlet-atlet ini telah menjalani latihan intensif sebagai persediaan untuk Para SUKMA, selain disediakan sokongan nutrisi.
Beliau berkata pendekatan sederhana Labuan terhadap temasya tahun ini mencerminkan komitmen mereka terhadap pembangunan atlet untuk mewakili Labuan pada peringkat kebangsaan.
Labuan akan menghantar 33 atlet para untuk bertanding dalam lapan daripada 10 jenis sukan yang dipertandingkan pada Temasya Para SUKMA itu.
Pada Para SUKMA 2022 di Kuala Lumpur, Labuan membawa pulang dua emas, satu perak dan empat gangsa.
-- BERNAMA