KUCHING: Temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 bermula esok hingga Sabtu depan di sini bakal menjadi medan pencarian bakat-bakat baharu dari golongan orang kurang upaya (OKU) yang penting buat negara.

Selepas prestasi baik pada Paralimpik Rio 2016 (tiga emas, satu perak) dan Tokyo 2020 (tiga emas, dua perak), pencapaian pingat emas kontinjen negara agak menurun di Paris 2024 apabila membawa pulang dua emas, dua perak dan satu gangsa.

Ini sekali gus membunyikan semboyan untuk pencarian bakat baharu bagi mewakili negara di peringkat antarabangsa kerana tidak boleh terus bergantung kepada jaguh Paralimpik seperti Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting), Cheah Liek Hou (badminton) dan Datuk Abdul Latif Romly serta Muhammad Ziyad Zolkefli (kedua-duanya olahraga).

Dengan lebih 1,200 atlet akan beraksi untuk mencabar 328 pingat emas ditawarkan dalam 10 jenis sukan pada temasya Para SUKMA kali ini, pastinya ia menjadi medan terbaik untuk mencari atlet pelapis baharu yang boleh membawa cabaran negara di temasya utama seperti Sukan Para ASEAN, Para Asia dan Paralimpik pada masa depan.

Stadium Sarawak bakal menjadi tumpuan utama apabila menjadi venue untuk sukan olahraga yang menawarkan sejumlah 132 pingat emas dengan saingan berlangsung dari Isnin hingga Jumaat (23-27 Sept) ini.

Renang menjadi sukan kedua menawarkan paling banyak pingat dengan 60 emas, diikuti powerlifting dan catur masing-masing 24 emas, tenpin boling (20), boling padang (19), ping pong (15), memanah (14), badminton (12) dan boccia (8).

Sarawak selaku tuan rumah bertekad untuk merampas kembali gelaran juara keseluruhan dengan sasaran 83 pingat emas menerusi kontinjen seramai 213 atlet (143 lelaki, 70 wanita) pada kali ini selepas menduduki tempat kedua dengan 50 emas, 47 perak dan 49 gangsa pada edisi 2022 di Kuala Lumpur.

Dalam usaha ke arah itu, kerajaan Bumi Kenyalang menawarkan insentif RM15,000 kepada atlet yang berjaya menang emas dan masing-masing RM5,000 dan RM3,000 untuk pemenang perak dan gangsa iaitu nilai sama seperti pemenang pingat SUKMA bulan lepas yang menyaksikan tuan rumah muncul juara keseluruhan SUKMA dengan 76 pingat emas.

Namun, Sabah yang meraih gelaran sulungnya dengan 54 emas, 36 perak dan 35 gangsa pada edisi lepas hadir dengan sasaran untuk mempertahankan kejuaraan itu dengan menghantar 145 atlet selain meningkatkan insentif kemenangan emas dari RM5,000 kepada RM10,000 pada kali ini.

Sarawak sebelum ini mempamerkan dominasi dalam temasya bagi golongan OKU itu apabila muncul juara keseluruhan sebanyak 13 kali berturut-turut dari edisi 1994 di Johor hingga 2018 di Perak.

Temasya Para SUKMA sebelum ini pernah dikenali sebagai Sukan Orang Cacat Malaysia (1982-1996) dan Sukan Paralimpiad Malaysia (1998-2016).

-- BERNAMA