KUALA LUMPUR: Selepas mencipta sensasi dan melakar sejarah tersendiri di bumi Perancis, Pearly Tan-M Thinaah nampaknya perlu akur dengan kehebatan pasangan China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan selepas tewas pada aksi separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024, sebentar tadi.

Pasangan beregu wanita itu gagal menyekat kemaraan pemain di kedudukan nombor satu dunia itu apabila tewas pada saingan rubber set 21-12, 18-21 dan 21-15 dalam perlawanan lebih 60 minit.

Dalam saingan yang berlangsung di  Porte de La Chapelle Arena, Paris aksi Pearly-Thinaah bermula dengan sedikit  perlahan apabila kalah 21-12 kepada  Qing Chen-Jia Yi Fan.

Begitupun, pemain yang menghuni ranking ke-13 dunia itu bangkit daripada kekalahan pada set pertama dengan mengambil masa lebih 20 minit untuk menang di set kedua.

Mata demi mata dikejar, sehingga menyaksikan beregu China itu terpaksa menerima hakikat dengan kehebatan Pearly- Thinaah dengan kemenangan, 21-18.

Memasuki pusingan ketiga, Pearly-Thinaah sekali lagi diuji dan perlu bekerja keras untuk mengutip mata selepas Qing Chen-Jia Yi Fan kembali bangkit.

Namun, pemain profesional negara itu tidak mudah menyerah kalah dalam misi merobohkan tembok besar China selepas mempamerkan teknik dan 'return smash' untuk meraih mata demi mata.

Tetapi, impian dan harapan Malaysia untuk memburu pingat emas nampaknya terhenti selepas pasangan itu kalah 21-15 di pusingan ketiga. 

Bagaimanapun, pasangan itu akan bersaing untuk berebut pingat gangsa.

Sepanjang empat perlawanan yang diharungi Pearly-Thinaah di Olimpik Paris 2024 termasuk aksi suku akhir, mereka hanya tewas kepada Qing Chen-Yi Fan 17-21, 20-22 ketika aksi pertama peringkat Kumpulan A.

Pearly-Thinaah yang juga pemenang emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 menjadi beregu wanita pertama negara yang berjaya melangkah ke separuh akhir di Sukan Olimpik.