KUALA LUMPUR: Harapan beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah untuk mara ke separuh akhir lebur apabila tumpas kepada wakil India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand dalam aksi kedua peringkat Kumpulan A kempen Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China hari ini. 


Ringkasan AI
  • Pearly Tan-M. Thinaah tumpas kepada Treesa Jolly-Gayatri Gopichand dalam aksi kedua Kumpulan A, mengakhiri harapan mereka ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir 2024.
  • Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Dejan Febrinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja.
  • Goh Soon Huat-Shevon Lai akan bertemu Dejan-Gloria esok untuk peluang ke separuh akhir.


Pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou itu menyaksikan beregu di kedudukan keenam dunia itu tumbang kepada Treesa-Gayatri 19-21, 19-21 dalam masa 46 minit. 

Ia sekali gus menjadi kekalahan kedua pada kejohanan berkenaan buat Pearly-Thinaah selepas turut tewas di tangan pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 21-13, 17-21, 18-21 pada aksi pertama Kumpulan A semalam. 

Hanya dua pasangan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke pusingan separuh akhir dalam kejohanan musim ini.

Menanti Pearly-Thinaah pada perlawanan seterusnya pada peringkat Kumpulan A, pilihan tempat kejohanan Liu Shengshu-Tan Ning dari China, yang sudah mengesahkan tiket separuh akhir selepas memenangi dua perlawanan berturut-turut.



Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kini selangkah untuk mara ke separuh akhir selepas menewaskan wakil Indonesia Dejan Febrinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, Tang Jie-Ee Wei tidak berdepan masalah untuk menang straight set 21-17, 21-18 terhadap lawan mereka yang berlangsung selama 49 minit.

Pasangan negara itu akan bertemu gandingan Jepun Hiroki Midorikawa-Natsu Saito bagi aksi terakhir kumpulan B.

Terdahulu, Midorikawa-Saito terpaksa akur tumpas straight set 21-14, 21-14 kepada beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Soon Huat-Shevon akan bertemu Dejan-Gloria esok bagi merebut peluang ke separuh akhir selepas tumpas kepada Tang Jie-Ee Wei semalam.

-- BERNAMA