KUALA LUMPUR: Pasukan paintball Malaysia yang bertarung di kejuaraan NXL Eropah berjaya memperoleh pingat dalam beberapa kategori yang dipertandingkan.

Pasukan Kejahatan yang berentap dengan 23 pasukan lain dalam divisyen empat berjaya mendapat tempat ketiga manakala satu lagi pasukan dari Malaysia, OFV Racun yang bertanding dalam divisyen sama gagal melepasi suku akhir.

Sementara itu, di kategori wanita tiga lawan tiga, pasukan Thunderstorm melengkapkan jadual pertandingan dengan berjaya mara hingga ke peringkat akhir namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Sebelum ini, Thunderstorm turut bertanding dalam kategori pro WNXL dan mendapat tempat kelima daripada enam pasukan yang bertanding.

Thunderstorm turut beraksi di Piala Dunia Persekutuan Paintball (UPBF) mewakili Malaysia dalam kategori wanita dan mendapat tempat keenam daripada lapan negara yang bertanding.

Bagi kategori amatur tiga lawan tiga pula, pasukan Raskal Avengers berjaya mendapat tempat kedua dari 28 pasukan yang bertanding. Kategori ini turut disertai oleh satu lagi pasukan dari Malaysia iaitu UPTM Eagles tetapi mereka gagal mara dari peringkat kumpulan.

Kejohanan NXL Eropah 2024 yang berlangsung di Dreux, Perancis terbahagi kepada tujuh divisyen dengan lebih 70 pasukan berentap merebut juara kejohanan.

NXL merupakan kejohanan peringkat tertinggi dalam paintball dan disertai oleh lebih 20 negara seluruh dunia antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Brazil dan Itali. - Sinar Harian