PENYOKONG negara berpeluang menyaksikan penampilan Harimau Malaya baharu seawal Mac ini apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 antara Nepal menentang Malaysia akan diadakan di tanahair.

Dalam temubual eksklusif bersama Zulhelmi Zainal Azam, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul berkata venue perlawanan terpaksa diubah susulan kegagalan Nepal menyediakan gelanggang tuan rumah bagi perlawanan pertama berkenaan.

"Stadium mereka telah menjalani penambahbaikan. AFC kurang senang dengan tahap perkembangan dan kami enggan mengambil risiko dan mahu memastikan perlawanan dapat dijalankan, perlawanan pertama akan dijalankan di Malaysia manakala perlawanan kedua di Nepal," katanya menerusi Nadi Weekend.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya dijadual membuka aksi pertama kelayakan bertemu Nepal di Stadium Dasharath di Kathmandu, 25 Mac ini.

Ia disusuli pertemuan menentang Vietnam pada Jun yang juga menjadi aksi pertama skuad bimbingan Peter Cklamovski di laman sendiri.

Untuk rekod, Nepal menggunakan venue neutral sebagai gelanggang tuan rumah ketika kempen Kelayakan Piala Dunia bertemu Bahrain dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) tahun lalu.