JAGUH Muay Thai negara, Muhamad Johan Ghazali Zulfikar mendedahkan dia patah tangan sebelum pertarungan dengan Josue Cruz dalam aksi ONE 168: Denver pada Sabtu.

Johan atau mesra dengan panggilan Jojo berkongsi perkara tersebut di laman Facebook miliknya selain turut memuat naik video keadaan tangannya itu.

Menurut Jojo, dia mengalami kecederaan tersebut enam minggu sebelum perlawanan yang menyaksikan dia menumbangkan Cruz dalam aksi di Ball Arena di Denver, Colorado, Amerika Syarikat.

Malah, Jojo berkata, dia hampir menarik diri namun bersyukur kerana sempat pulih sebelum aksi menentang petarung Mexico itu.

"Inilah tangan Jojo yang patah sebelum lawan lagi dah patah. Jojo hampir tarik diri dan ramai tak tahu.

"Tetapi, Alhamdulillah Allah bagi semangat," katanya.

Dalam aksi menentang Cruz itu, Jojo hanya memerlukan satu pusingan untuk menumbangkan lawannya itu secara knockout (KO).

Ia sekali gus menyaksikan Jojo berjaya melebarkan rekod kemenangan 6-1 dan meraih bonus kemenangan AS$50,000 (RM216,699). - Sinar Harian