MUHAMAD Johan Ghazali Zulfikar meluahkan rasa lega apabila segala persiapan yang dilakukan sejak tiga minggu lalu di Denver, Amerika Syarikat  berjalan lancar sehingga menghasilkan kemenangan dalam aksi perlawanan hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai 'Jojo' dalam temu bual sejurus diisytiharkan sebagai pemenang menyifatkan segala kemudahan dan layanan yang diterima buatnya serta semua kru pasukannya adalah yang terbaik dari semua pihak termasuk One Championship.

Malah menurutnya, kebanyakan penduduk Denver memberi layanan kepada  keseluruhan pasukannya dengan begitu baik.

"Terima kasih One Championship dan semua kakitangan yang terlibat, sepanjang kunjungan saya ke sini semuanya berjalan dengan lancar sejak hampir tiga minggu ini.

"Semuanya sangat mengagumkan termasuk semua orang di sini dan saya suka berada di sini. Saya berasa cukup berbangga untuk berada di sini. Terima kasih atas penerimaan terhadap saya!" katanya.



Dalam perlawanan berlangsung di Ball Arena di Denver, Colorado, Amerika Syarikat itu Jojo menewaskan pertarung dari Mexico, Josue Cruz secara knockout (KO) pada pusingan pertama.