Jaguh seni bela diri campuran (MMA) berkenaan tidak hanya kagum dengan bakat yang dimiliki anak muda kelahiran Sarawak itu, tetapi menganggap Johan sebagai atlet yang berbakat dan sedia memberi sokongan jika beliau berhasrat untuk beralih ke sukan MMA pada masa hadapan.
"Saya tahu beliau masih muda dan pejuang yang hebat. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepadanya. Beliau ada memberitahu saya bahawa beliau mahu beralih ke MMA setelah selesai dengan sukan yang diceburinya sekarang.
"Jika beliau mahu beralih ke MMA, beliau dialu-alukan untuk berlatih bersama kami di Dagestan untuk meningkatkan kemahiran gustinya. Kehadirannya sentiasa dialu-alukan," kata Khabib dalam satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Bercakap tentang landskap sukan tempur di Malaysia, Khabib berusia 36 tahun yang disenaraikan dalam UFC Hall of Fame 2022 berkata Malaysia mempunyai beberapa atlet berbakat yang mampu mencapai ke tahap dunia.
Khabib berkata jika Malaysia mahu melahirkan juara MMA bertaraf dunia, negara perlu membina asas yang kukuh melalui jurulatih berpengalaman dan sistem latihan yang mantap, menjadikan kejayaan Dagestan sebagai rujukan.
"Saya mengikuti perkembangan MMA di seluruh dunia dan saya sedar tentang atlet berbakat dan jaguh Muay Thai yang anda miliki ketika ini. Tetapi Malaysia memerlukan lebih ramai jurulatih yang berkelayakan dan rangka kerja yang kukuh untuk memupuk bakat terbaik MMA.
"Di Dagestan, kami mempunyai sistem yang hebat dengan jurulatih berkemahiran tinggi dan kami telah melahirkan juara dalam pelbagai sukan tempur.
"Untuk membangunkan atlet di peringkat tertinggi, anda perlu membina sistem yang kukuh hasil gabungan atlet yang baik dan jurulatih yang cemerlang," tambah beliau.
--BERNAMA