Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata ia bagi mengelakkan situasi sama dihadapi Imigresen FC (IFC) yang layak secara merit bermain di liga lebih kompetitif itu selepas menjuarai Liga M3, namun berdepan kekangan memenuhi kriteria ditetapkan.
IFC dinobatkan juara Liga M3 yang kini dikenali Liga Kejuaraan MBSB Bank selepas mengakhiri kempen pada kedudukan teratas dengan mengumpul 55 mata manakala pencabar terdekat KL Rovers 54 mata.
"Pasukan Imigresen ini bergelar juara tapi mereka tak hantar permohonan lesen kelab kebangsaan. Ikutkan mereka sebenarnya dah layak namun isu pelesenan itu antara kriteria lain perlu dipenuhi.
"Ini seharusnya dijadikan pengajaran kepada pasukan yang tidak pernah terfikir untuk menjadi juara dan juga kepada kelab lain. AFL hanya menyediakan platform untuk mereka naik (bersaing di liga tertinggi)," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada program 'Dare To Dream' anjuran MBSB Bank bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Wolverhampton Wanderers FC, di sini semalam.
IFC dilaporkan belum memutuskan sama ada mahu menyertai saingan Liga Super musim depan berikutan beberapa faktor perlu diambil kira antaranya melibatkan kewangan dan kemampuan pasukan.
Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, pelbagai seminar turut dilaksanakan bagi menjelaskan kepentingan pelesenan selain berharap pasukan bertanding akan terus cakna berhubung perkara berkenaan.
Mengenai program dianjurkan semalam, beliau memuji langkah MBSB Bank bekerjasama dengan Wolverhampton Wanderers dalam memilih 12 pemain Liga M3 merasai pengalaman berlatih bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu di England.
"MBSB memainkan langkah cukup hebat yang awalnya saya tak fikir sampai ke situ mereka bukan sahaja menaja liga bola sepak amatur kebangsaan kita bahkan menaja beberapa pemain berlatih di luar.
"Ia pada masa sama akan melonjakkan potensi pemain-pemain muda kita dalam sukan bola sepak," katanya.
MBSB Bank yang merupakan penaja utama dan rakan bank rasmi AFL, juga menjadi penaja bersama untuk Liga M4 dan Liga M5 dikendalikan AFL.
-- BERNAMA