Gara-gara inginkan teman, seorang lelaki sanggup memberikan tiket perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di laman di platform Mudah.my secara percuma.

Syaratnya, tiket tersebut hanya akan ‘dijualkan’ kepada kaum hawa sahaja.

“Satu tiket untuk wanita ‘single’ secara percuma untuk teman saya ke stadium pada Selasa ini,” kata penjual tersebut menerusi kenyataan yang dimuat naik di ruang butiran pada laman tersebut.

Astro AWANI cuba menghubungi penjual tiket tersebut, yang hanya dikenali sebagai ‘msah’, namun tidak menerima sebarang respon.



‘Msah’ mungkin hanya bergurau semata-mata.

Setelah lamannya diperiksa, muat naik yang asal didapati telah dipadamkan dan jualan yang baru telah dimuat naik.

“Mencari teman tengok bola final sama-sama,” katanya.



Pada Ahad tiket final pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Vietnam yang dijual di kaunter Stadium Nasional Bukit Jalil ibarat pisang goreng panas apabila habis dijual dalam masa yang sangat singkat.
Kesemua 80,000 tiket yang diperuntukan untuk perlawanan tersebut habis dijual, sama ada secara fizikal mahupun atas talian.

Ada juga yang sanggup bersengkang mata demi tiket untuk menyaksikan Harimau Malaya.

Perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung pada 11 Disember ini.