PANAS suasana konsert jelajah BLACKPINK di Stadium Bukit Jalil ibu negara semalam, begitu juga panasnya perbincangan mengenainya di media sosial.

Kami senaraikan beberapa perkara menarik yang menjadi buah mulut netizen dalam konsert Born Pink Live in KL.

1. Dengan kira-kira 65,000 orang peminat memenuhi stadium, ia dikatakan konsert BLACKPINK dengan kehadiran tertinggi setakat ini. Namun, Blinks di Indonesia nampaknya tercabar dan tekad mahu memecahkan rekod itu. BLACKPINK dijangka membuat persembahan di Stadium Gelora Bung Karno, 11 dan 12 Mac ini.


2. Kumpulan yang dianggotai Jisoo, Jennie, Rose, dan Lisa itu juga sempat tease projek terbaharu mereka, BLACKPINK: The Game. Namun di media sosial, ia menerima reaksi berbaur kerana ada peminat mahukan projek solo Jisoo dilaksanakan terlebih dahulu.

3. Sebuah akaun Twitter diserang netizen gara-gara membandingkan kebenaran konsert BLACKPINK di Malaysia dengan ceramah Ustaz Azhar Idrus yang diarah batal sebelum ini.

"Apa kena-mengena isu tauliah Ustaz Azhar dengan konsert ini?" tanya netizen.


Lebih 60,000 peminat banjiri Stadium Nasional bagi menyaksikan konsert BLACKPINK. - Foto /Twitter Shafiqah Othman @sfqomhz

4. Seorang pengguna Twitter juga menjadi mangsa kecaman ramai apabila dilihat seolah-olah memperlekehkan bakat tempatan dengan mengatakan empat anggota BLACKPINK itu jauh lebih berbakat daripada majoriti artis tempatan. Lebih membuatkan peminat naik angin apabila nama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut disebut sebagai "tidak mampu menari dan rap".

"Artis tempatan lebih berbakat, mereka cuma tiada platform untuk bawa bakat mereka ke peringkat lebih tinggi," kata netizen.


5. Ramai juga memperkatakan tentang pemakaian BLACKPINK yang lebih daring, berbeza dengan konsert mereka di sini empat tahun lalu. Namun ramai yang melihat kumpulan itu tidak dipersalahkan sepenuhnya memandangkan artis tempatan juga dilihat bebas berpakaian sedemikian dalam persembahan terbuka.


6. Seorang penceramah bebas juga mendapat perhatian apabila satu statusnya di Facebook yang 'berdoa' agar banjir di beberapa negeri dialihkan ke Bukit Jalil dikecam. Ia dilihat netizen agak biadab kerana mendoakan perkara tidak baik berlaku, namun ramai juga yang geli hati kerana yang disebut dalam status berkenaan ialah Axiata Arena, di mana berlangsungnya sebuah konsert lain, yang mana barisan artisnya turut termasuk penyanyi lagu kerohanian, Opick dan Nissa Sabyan.