Shah Firdaus berkata selepas insiden itu, terdapat beberapa agensi pelancongan menghubunginya dengan menawarkan untuk menaja beliau merealisasikan hasratnya itu.
Namun semalam, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Paris, beliau dikejutkan dengan tajaan ikhlas.com yang menawarkan pakej umrah kepadanya pada bila-bila masa.
Shah Firdaus berkata beliau begitu terharu dengan tawaran yang diberikan dan menyifatkan ia sebagai hadir tepat pada waktunya.
"Sebelum ke Paris ibu tanya boleh belanja ibu pergi umrah? Saya cakap mestilah boleh tapi ibu doakan saya menang harapnya boleh pergi umrah bersama ibu dan ayah.
"Bila insiden di Paris berlaku, pengurus pasukan maklum kepada saya banyak agensi yang menawarkan untuk taja saya, tapi yang di KLIA memang betul-betul datang dan tawarkan sendiri kepada saya," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Shah Firdaus berkata beliau akan berbincang bersama Ketua Jurulatih skuad berbasikal trek negara John Beasley mengenai masa yang sesuai untuk beliau menunaikan ibadah umrah kerana dijangka perlu beraksi pada Kejohanan Dunia Berbasikal Trek di Denmark Oktober ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com Ikhlas Kamarudin berkata tajaan kepada Shah Firdaus diberikan kerana tersentuh dengan perjuangan pelumba berusia 28 tahun itu yang dilihat ikhlas untuk membawa ibu bapanya menunaikan ibadah umrah.
"Semasa temu bual selepas perlumbaan, Shah Firdaus terangkan impiannya yang sangat ikhlas ... insya-Allah, setelah apa yang berlaku, kita harap ia membentuk beliau menjadi insan yang lebih memahami apa itu hidup dan cabaran, kembali bersemangat," katanya.
Shah Firdaus gagal membawa pulang sebarang pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024 apabila disingkirkan semasa pusingan final acara keirin lelaki meskipun menamatkan cabaran di kedudukan keempat Ahad lepas.
Atlet berasal dari Muar, Johor itu yang sedang memecut untuk menuju garisan penamat dirempuh pelumba Jepun Shinji Nakano yang menyebabkan pelumba Great Britain Jack Carlin hilang kawalan sekali gus terjatuh semasa pusingan terakhir di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome.
-- BERNAMA