Berbaki satu setengah pusingan, Shah Firdaus cuba merapatkan jurang dengan pelumba di tempat ketiga K Ota dari Jepun, sebelum pecutan beliau terganggu selepas dihimpit seorang pelumba di kedudukan kelima.
Pelumba berusia 28 tahun itu akhirnya terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat dengan 0.437 saat di belakang pendahulu M Richardson dari Australia.
Namun, tuah menyebelahi Malaysia apabila Ota dibatalkan daripada saingan tersebut kerana menghalang laluan pelumba Malaysia itu, sekali gus menyaksikan Shah Firdaus mara ke peringkat akhir, menyemarakkan lagi harapan untuk melihat pingat terakhir untuk kontinjen negara.
Pusingan akhir dijadual berlangsung pada pukul 7.23 malam waktu Malaysia.