"SHAH Firdaus akan meneruskan legasi saya," kata jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, yang secara rasmi mengumumkan persaraannya sebaik tamat kempen Sukan Olimpik Paris 2024.

The Pocket Rocketman diletakkan sebagai sandaran emas dalam penampilan Sukan Olimpik terakhirnya.

Malangnya, penyertaan beliau dibatalkan dalam pusingan pertama acara keirin, sekali gus menamatkan cabarannya lebih awal.

Mengakui terkesan besar dengan peristiwa hitam itu, Azizulhasni, dalam keadaan penuh beremosi yakin Shah Firdaus Sahrom, yang mara ke final acara keirin sebelum terlibat dengan kemalangan di selekoh terakhir di Velodrom Nasional Perancis semalam (Ahad), akan meneruskan legasinya.

"Saya tidak risau untuk berundur - memang saya akan berundur - kerana kita ada Shah Firdaus.

"Melihat perlumbaannya tadi pun memang saya amat kagum, saya gembira untuknya.

"Dia memang sepatutnya menang gangsa tetapi malangnya, dia dihimpit oleh pelumba Jepun.

"Kalau kita lihat kelajuannya, dia memang sepatutnya menang gangsa.

"Tetapi masuk ke selekoh terakhir, nampak pelumba Jepun itu sudah hilang kelajuan dan terdesak sehingga naik ke atas dan menghimpit Shah Firdaus sebelum kedua-dua mereka terjatuh.

"Saya memang menangis melihatnya, saya harap yang terbaik untuknya kerana sayu tahu potensi sebenarnya."



Mengulas lanjut Azizulhasni berkata: "Bagi saya, saya memang harap Shah akan teruskan legasi saya. Shah, adiknya (Ridwan Sahrom, pelumba negara) dan beberapa pelumba lain.

"Ia bukan lagi tentang saya. Saya harap peminat akan berhenti bercakap mengenai saya, ia bukan lagi tentang saya.

"Ia tentang kita menyokong dia (Shah Firdaus) dan generasi baharu itu.

"Apa sahaja yang mereka perlukan bantuan saya, saya akan sentiasa berada di sana untuk mereka," katanya. - Stadium Astro