Demikian mesej Shinji Nakano kepada Shah Firdaus Sahrom susulan tindakan warganet yang menyerang akaun media sosialnya selepas insiden perlanggaran melibatkan kedua-dua pelumba basikal itu pada final acara keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.
Memetik laporan Berita Harian, pelumba berusia 28 tahun itu berkata Nakano menghantar mesej kepadanya kelmarin memberitahu telah diserang 'tentera bawang' Malaysia.
"Saya pun tak tahu, apabila saya tengok, sudah berpuluh ribu komen.
"Saya harap netizen berhenti sebab perkara itu menjejaskan kami juga. Perkara itu memang berlaku (perlanggaran), ada 'body contact' dan itu biasa dalam keirin dan sebenarnya dia tak berniat nak 'hentam' saya, itu sebab 'G-force'.
"Bila ada 'body contact', 'G-force' itu nampak seperti dia naik tetapi dalam keirin benda itu biasa, tinggal jatuh atau tidak sahaja," kata Shah Firdaus memetik laporan tersebut hari ini.
Berkongsi lanjut, atlet dari Muar, Johor itu menambah, tindakan meninggalkan komen-komen negatif kepada Nakano menyebabkan dia berasa serba salah dan malu kerana mereka berdua bersahabat baik.
Selain itu, Shah Firdaus juga mengesahkan bahawa permohonan maaf yang kononnya dimuat naik oleh Nakano di laman sosial TikTok adalah palsu.
"Itu bukan TikTok dia (Nakano), dia cakap perkara itu dengan saya. Kami jumpa selepas perlumbaan... (akaun) TikTok itu, biasalah orang buat cerita. Tapi saya dengan dia OK sahaja, saya dengan dia tak ada masalah.
"Keirin biasa, ada 'body contact' apa semua, cuma mungkin daripada mata penonton macam dia sengaja tetapi memanglah, semua orang nak menang jadi tak ada dendam apa-apa," ujarnya.
"Yang buat saya terasa, dia ingat orang Malaysia baik-baik sebab saya baik dengan dia. Kalau saya ke Jepun, dia bawa saya jalan semua. Bila dia berasa begitu, saya rasa serba salah.
"Dia mesej saya, dia ingat rakyat Malaysia baik-baik, saya macam malunya," tambah Shah Firdaus.
Sebelum ini, warganet Malaysia bertindak menyerang pelumba dari Jepun yang didakwa menjadi punca kemalangan sehingga menyebabkan Shah Firdaus terlepas peluang untuk memenangi pingat dalam acara keirin.
Pada perlumbaan di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines itu, Shah Firdaus dilihat berada di posisi tepat untuk sekurang-kurangnya memenangi pingat gangsa sebelum berlaku insiden kemalangan membabitkannya bersama Nakano dan pelumba Great Britain, Jack Carlin.
Sebelum ini, Shah Firdaus juga meminta pengguna media sosial agar menjaga adab setiap kali meluahkan pendapat sehingga boleh memberikan kesan buruk kepada imej Malaysia di pentas dunia.