PEP Guardiola menegaskan bahawa dia gembira di Manchester City dan memberi fokus sepenuhnya kepada cabaran musim hadapan di sebalik menjadi calon untuk menggantikan Gareth Southgate sebagai ketua jurulatih England.

Southgate mengumumkan peletakan jawatannya selepas lapan tahun mengendalikan Three Lions minggu lalu berikutan kekalahan final EURO 2024 kepada Sepanyol.

Pengurus tempatan seperti Graham Potter, Eddie Howe dan Lee Carsley turut disebut-sebut sebagai calon untuk menggantikan Southgate, begitu juga Mauricio Pochettino.

Laporan juga mencadangkan Persatuan Bolasepak (FA) sedia mendekati Guardiola bagi tugasan pada 2025 tatkala ramai yang percaya bekas pengendali Barcelona itu berkemungkinan mengundurkan diri sebagai bos City.

Walaupun pernah bercakap mengenai hasratnya untuk menggalas jawatan di peringkat antarabangsa tetapi buat masa ini, dia mahu memberi tumpuan kepada usaha City untuk memenangi kejuaraan liga Inggeris kelima berturut-turut yang belum pernah terjadi.

“Saya sangat teruja untuk musim akan datang ini,” katanya pada satu sidang media.

"Saya sangat gembira di sini.

"Setiap musim saya memerlukan rehat, pastinya tetapi selepas itu, saya mengecas semula bateri saya untuk saya bertenaga seperti sediakala.

"Saya tahu akan persaingan mendatang dan saya fokus sepenuhnya kepada itu."