BUAT kali pertama dalam tempoh lebih 2,500 hari, Manchester City dianggap pasukan kedua untuk memenangi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Namun, pengendali Liverpool, Arne Slot tidak terlalu mempedulikan kejatuhan prestasi penyandang juara itu menjelang pertembungan 'panas' di Anfield, tengah malam ini (12 tengah malam waktu Malaysia).

Kerapuhan benteng pertahanan City menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola mengalami lima kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Meskipun, City berjaya menamatkan siri kekalahan tersebut dengan keputusan seri berdepan Feyenoord di pentas Liga Juara-Juara (UCL) pada Rabu lalu, namun ia hanya memperlihatkan aura Guardiola semakin malap kerana dalam perlawanan itu Feyenoord bangkit daripada ketinggalan 0-3 untuk mengikat The Citizen 3-3.

Bagi Liverpool yang kini memimpin carta EPL, kemenangan di laman sendiri akan memberikan mereka kelebihan 11 mata ketika saingan baru sahaja mengharungi 12 perlawanan.

Kemenangan 2-0 ke atas juara Eropah, Real Madrid baru-baru ini menyaksikan Liverpool mencatat 17 kemenangan daripada 19 perlawanan dalam semua pertandingan sejak Slot menggantikan Jurgen Kloop dan turut membawa mereka ke puncak carta UCL dengan rekod kemenangan 100 peratus.

Dengan Guardiola yang kelihatan terkesan menyifatkan City sebagai ‘rapuh’ fizikal dan mental. ia seakan waktu yang sempurna untuk Liverpool menyerlah tetapi Slot tetap berwaspada.

“City masih pasukan yang sangat baik dan salah satu sebab mengapa Pep adalah yang terbaik di dunia adalah kerana dia sentiasa mencari penyelesaian untuk masalahnya.

“Salah satu masalah yang memeningkan Pep adalah di bahagian tengah selepas Rodri cedera, tetapi dia akan menemui penyelesaian.

“Saya tidak akan terkejut jika Pep datang dengan idea cemerlang yang lain,” ujar Slot.

Walaupun ketika City berada di puncak prestasi mereka, lawatan ke Anfield sentiasa sukar.

Guardiola telah membawa City ke Anfield sebanyak sembilan kali dan daripada jumlah kunjungan itu, dia hanya merasai kemenangan sebanyak sekali, iaitu kemenangan 4-1 dalam perlawanan tertutup pada Februari 2021.

Bagi Slot pula, ini adalah musim sulungnya di EPL dan kemenangan ke atas City akan mengukuhkan lagi reputasinya sebagai salah seorang jurulatih elit Eropah. - Sinar Harian