Bekas pemain Aston Villa yang kini menjadi pemerhati bola sepak, Gabby Agbonlahor menyifatkan Ronaldo bukan lagi pemain yang bagus dan pengendali Portugal, Roberto Martinez takut untuk meletakkan bekas bintang Manchester United itu di bangku simpanan.
Ronaldo yang kini sudah mencecah umur 39 tahun bermain 90 minit ketika Portugal meraih kemenangan ke atas Republik Czech pada aksi Kumpulan F saingan Euro di Red Bull Arena pada Rabu.
Walaupun Ronaldo beraksi dalam kemenangan itu, namun Agbonlahor tidak melihat peranan besar dimainkan tonggak Al-Nassr itu.
"Secara jujur, saya akan dibelasah kerana mengatakannya di media sosial tetapi saya menonton perlawanan itu dan saya berfikir dia sebenarnya bukan Ronaldo yang dahulu.
“Semua pemain cuba mencari dia di bahagian akhir padang dengan hantaran silang. Tetapi mereka tidak benar-benar mempercayainya untuk bermain permainan satu-dua. Saya tidak fikir Ronaldo sepatutnya berada dalam kesebelasan utama.
“Ronaldo sepatutnya masuk untuk tempoh 15, 20 minit terakhir. Mereka ada Joao Felix, Diogo Jota, yang pernah bermain sebagai false nine sebelum ini.
“Saya rasa seperti Roberto Martinez takut untuk meletakkan Ronaldo di bangku simpanan. Adakah itu akan menjadi isu dalam kejohanan ini," katanya.
Ronaldo memegang rekod penampilan paling banyak di Kejohanan Eropah, selepas bermain dalam enam kejohanan secara keseluruhan.
Bekas bintang Manchester United itu sentiasa menyertai kejohanan Euro dengan penampilan pertama pada usia 19 tahun di pada Euro 2004. - Sinar Harian