BENDERA Jerman terdiri daripada warna merah, kuning dan hitam - jadi mengapa jersi utama atau 'home' mereka berwarna putih dalam bola sepak antarabangsa?

Jerman kini menjadi tuan rumah Euro 2024 dan menewaskan Scotland 5-1 dalam perlawanan pembukaan dan mengalahkan Hungary 2-0 pada perlawanan kedua mereka.



Jersi yang dipakai pada Piala Dunia 2022 di Qatar. - Foto Agensi

Pasukan bimbingan Julian Nagelsmann dianggap sebagai salah satu pasukan pilihan untuk memenangi Euro, walaupun mereka tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan di Piala Dunia 2022 di Qatar.

Sepanjang kejohanan kali ini, Jerman akan memakai jersi 'home' tradisional berwarna putih atau jersi 'away' berwarna merah jambu dan ungu.



Pasukan Jerman memaki jersi 'away' berwarna ungu ketika menentang Hungary pada perlawanan kedua Euro 2024 baru-baru ini. - Foto Agensi

Tetapi apakah sebab di sebalik jersi putih mereka, memandangkan warna itu tidak terdapat pada bendera mereka?

Sebab utama jersi 'home' Jerman berwarna putih kerana pasukan itu mengguna pakai warna bendera Prusia - negeri yang terbentang dari sempadan Rusia moden hingga ke sempadan Perancis yang berwarna putih.

Prusia membentuk empayar Jerman pada 1871 dan menjadi sebuah negeri terpenting pada masa itu.
Pada abad ke-18, Prusia menjadi kuasa besar Eropah di bawah pemerintahan Frederick Agung.



Antara jersi putih yang paling diingati dan ikonik pernah disarung oleh Jerman pada Piala Dunia. - Foto Agensi

Apabila pasukan bola sepak Jerman ditubuhkan pada 1899, mereka memutuskan untuk mengadaptasi warna Prusia.

Bendera Prusia juga mempunyai salib di tengahnya, walaupun ia kemudian digantikan oleh helang hitam.

Selain helang hitam yang terdapat pada bendera Prusia, ia juga terdapat pada bendera Jerman sejak tahun 1950, yang hanya boleh digunakan oleh pihak berkuasa kerajaan persekutuan.

Walaupun kerajaan Prusia runtuh pada 1918 akibat Revolusi November pada akhir Perang Dunia Pertama, pasukan bola sepak memutuskan untuk mengekalkan warna putih sebagai warna utama mereka.

Sementara itu, pasukan Jerman Timur, yang merupakan ahli penuh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) antara tahun 1951 dan 1990 sehingga ia bersatu semula dengan Jerman Barat, memakai biru sebagai jersi 'home' tetapi menggunakan jersi putih sebagai warna di tempat lawan.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian