Jika Sepanyol menang aksi final, ia sekali gus menjadikan La Roja sebagai pasukan paling prolifik dalam Kejuaraan Eropah dengan empat trofi.
Sebaliknya, jika Gareth Southgate berjaya mencatur strategi mengatasi Sepanyol, maka beliau akan dianggap sebagai legenda dengan membawa England merangkul Kejuaraan Eropah pertama buat the Three Lions.
Di atas kertas, tidak dinafikan Sepanyol menjadi pilihan kebanyakan pemerhati bola sepak.
Ia sesuatu yang dijangka memandangkan dalam kejohanan kali ini, Sepanyol telah mencipta rekod baharu dengan menang keenam-enam perlawanan menuju ke aksi final.
Selain itu, dengan persembahan mengagumkan pemain-pemain generasi baharu Sepanyol, kewibawaan anak buah Luis de la Fuente diakui.
Lebih-lebih lagi dengan menyinarnya pemain muda seperti Lamine Yamal dan Nico Williams.
Disokong pula dengan pemain berpengalaman seperti Dani Carvajal, Rodri dan ketua pasukan, Alvaro Morata, Sepanyol sememangnya layak untuk menjadi juara.
Namun begitu, England jangan sekali-kali diperlekeh.
Tidak disangkal aksi England sepanjang kejohanan ini tidak mencerminkan karakter sebagai finalis, apatah lagi bakal juara.
Aksi England kurang memberangsangkan sehinggalah ke peringkat separuh akhir apabila anak-anak buah Southgate mula mempamerkan potensi yang sepatutnya ditonjolkan skuad dibarisi pemain berkelas dunia.
Jika melihat kepada senarai pemain, apa kurangnya England?
Harry Kane, Jude Bellingham, Bukayo Saka, Phil Foden, Declan Rice antara nama bintang berkelas dunia.
Jangan juga kita lupa, skuad ini berpengalaman bermain dalam aksi final Kejuaraan Eropah pada edisi lalu, meskipun tewas kepada Itali.
Pengalaman ini tidak dimiliki skuad muda Sepanyol, yang mungkin menjadi garis perbezaan Tipis antara kedua-dua pasukan.
Ramalan paling sukar dalam bola sepak ialah ketika aksi final kerana ia bukan soal taktikal dan skil semata-mata, ia melibatkan keinginan, siapa paling dahagakan kemenangan.
Adakah akhirnya 'it's coming home' buat England atau ini merupakan pesta permulaan generasi emas baharu Sepanyol.
Walau apa pun keputusannya, pertemuan dua pasukan gergasi dunia di final merupakan penutup tirai Kejuaraan Eropah 2024 dambaan fanatik bola sepak.