KEMENANGAN kedua Sepanyol berturut-turut memastikan slot kedua ke pusingan kalah mati menjadi milik mereka selepas menewaskan Itali dengan kemenangan tipis 1-0 di Arena AufSchalke, awal pagi tadi.

Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan walaupun Sepanyol mendominasi perlawanan sepenuhnya dengan sembilan percubaan ke arah gawang skuad Azzuri.

Begitupun, Sepanyol memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke-55 apabila tandukan Morata hasil hantaran Inaki Williams dalam kotak penalti terkena kaki Riccardo Calafiori hingga menyebabkan jaringan sendiri untuk memberikan Sepanyol kelebihan dengan 1-0.


Sepanyol agresif untuk menggandakan jaringan dan mengasak benteng pertahanan Itali sehingga minit akhir perlawanan tetapi Gianluigi Donnarumma berjaya menafikan percubaan demi percubaan Sepanyol.

Keputusan itu kekal hingga wisel penamat sekali gus membawa Itali kekal di tangga kedua Kumpulan B dengan tiga mata di bawah Sepanyol yang mengumpul enam mata selepas dua perlawanan.