DIDIER Drogba tidak lagi mengenali 'identiti' pasukan Chelsea apabila bekas penyerang itu membidas cara pemilik bersama, Todd Boehly, mengendalikan kelab berkenaan sejak mengambil alihnya daripada Roman Abramovich.

The Blues kecundang 0-2 kepada Real Madrid di Stamford Bridge semalam dan terkandas di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan agregat 4-0.

The Blues juga gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan lalu dan tewas lima daripadanya, selain tergelincir ke tangga ke-11 Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tatkala mereka menuju penghujung kempen musim ini tanpa sebarang trofi, Drogba -- yang memenangi 12 gelaran utama sepanjang sembilan musim bersama Chelsea -- mengkritik rejim semasa kelab itu.

"Saya mengenali kelab ini berdasarkan kelas tertentu dalam era Abramovich tetapi hari ini saya mendapati kepincangannya.

"Cukup sukar untuk saya melihat bagaimana mereka menyingkirkan orang tertentu," katanya kepada Canal+.

"Mereka harus kembali kepada prinsip dan nilai yang mereka ada. Saya tidak lagi mengenali kelab ini." -- Stadium Astro