Ketua Pegawai Eksekutif, Presiden dan Dekan, Asia School of Business (ASB), Professor Sanjay Sarma berkata, elemen-elemen tersebut adalah fokus Pusat Inovasi dan Keusahawanan (IEC) di ASB dalam memupuk komuniti industri dan perniagaan masa hadapan.
Jelasnya, bandar seperti Boston, Austin, dan Silicon Valley di California, berjaya mencipta reputasi tersendiri melalui ekosistem pembelajaran langsung dan kerjasama dengan tenaga profesional berpengalaman.
“Bagaimana anda mengubah suai produk anda agar sesuai dengan pasaran? Bagaimanakah anda mengambil langkah pertama dan pengujian beta? Bagaimana anda belajar dan kemudian mengambil peralihan berlainan untuk menyelesaikan masalah? Ini semua adalah kemahiran. Ia bukan anugerah Tuhan. Dan inilah yang IEC, Pusat Inovasi dan Keusahawanan di ASB melakukan, ia memupuk komuniti, mengajar serta melatih.
“Tidak semua latihan dan pengajaran berlaku kerana seorang profesor memberitahu anda untuk melakukannya tetapi kerana anda mempelajarinya secara praktikal. Anda mencubanya, anda bekerja dengan orang lain, anda bekerja dengan orang yang pernah melakukannya sebelum ini.
“Dan ekosistem inilah yang menjadikan Boston atau Austin atau Silicon Valley begitu berjaya. Inilah yang kami ingin terapkan di ASB,” katanya.
Sistem pendidikan, tambah beliau, perlu diperhalusi semula untuk generasi baharu, terutamanya dalam mendepani teknologi baharu, cabaran serta kemampanannya.
ASB sebagai sebuah institusi tempatan, mengambil pendekatan langsung, memfokuskan pada Pembelajaran Tindakan atau Action Learning dalam ijazah sarjana, di mana pelajar menggunakan pengetahuan mereka dalam situasi dunia sebenar.
Kerjasama ASB dan MIT menekankan pada aspek ini, menjadikannya sebuah institusi pendidikan global yang berfokuskan Asia berpangkalan di Kuala Lumpur.
“Saya fikir sistem pendidikan kita, ia agak kaku dalam masa dan perlu dicipta semula, terutamanya untuk generasi baharu, terutamanya dengan teknologi baharu dan cabaran baharu seperti kemampanan. MIT secara tradisinya mengambil pendekatan secara langsung dengan pendidikan. Anda tidak hanya mendengar di dalam kelas dan menganggap anda telah belajar. Anda sebenarnya perlu menerapkannya. Anda perlu belajar di lapangan.
“Sebagai contoh, di ASB dalam ijazah sarjana, seperti MBA, anda melakukan sesuatu yang dipanggil Pembelajaran Tindakan, yang bermaksud anda benar-benar turun ke lapangan dan menggunakan semua yang anda pelajari dalam asas yang hampir seperti perundingan, di sebuah syarikat besar di mana anda mengubah sesuatu.
“Kedua, MIT sangat teknikal, dan hari ini kita berada dalam dunia teknologi, sama ada kecerdasan buatan atau perubahan iklim, teknologi atau kemampanan, kewangan atau FinTech, semua topik ini masuk secara mendalam ke dalam ASB, dan khususnya terdapat tumpuan sekarang pada perkara seperti kecerdasan buatan, yang mengubah cara kita bekerja.
“Kami juga sangat tertumpu pada masa depan perniagaan dan masa depan inovasi, dan sangat serius dalam hal itu.
"Hubungan ASB dan MIT menyuntik elemen-elemen tersebut ke dalam institusi pendidikan yang hebat yang ditujukan di dunia, di Asia,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran musim kedua program realiti inovasi terbitan Astro dengan kerjasama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Innovathon, pada Rabu.
Ditubuhkan pada tahun 2015 dengan kerjasama MIT Sloan, ASB disasarkan untuk memupuk pemimpin transformatif yang komited dalam memberi impak global.
ASB menawarkan pedagogi yang sangat berbeza bukan saja dalam topik perniagaan tetapi juga inovasi, keusahawanan, kemampanan, teknologi dan kecerdasan buatan.
ASB juga telah melancarkan format Agile Continuous Education (ACE) yang menawarkan alternatif yang lebih fleksibel dan mudah kepada pendidikan tradisional.
Sijil ACE bertaraf pensijilan profesional boleh diambilkira sebagai sebahagian subjek matapelajaran program MBA, Executive MBA (EMBA) dan Master in Management (MIM) di Asia School of Business.
Ini bermakna bahawa jika pelajar yang sama diterima masuk ke dalam program di ASB, matapelajaran yang sama tidak perlu diulangi. Kredit dari ACE boleh dipindahkan ke program MBA, EMBA dan MIM.