LIVERPOOL 2 EVERTON 0

Mohamed Salah berharap kemenangan 'derby' Merseyside 2-0 ke atas Everton akan menjadi titik tolak kebangkitan Liverpool selepas permulaan tahun ini yang buruk.

The Reds hanya memperoleh satu mata daripada empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang 2023 sebelum menewaskan musuh sekota itu di Anfield, sebentar tadi.

Salah membuka tirai jaringan dengan gol kelapannya musim ini selepas kemarau dalam lima perlawanan apabila menyambut umpanan Darwin Nunez, tetapi 13 saat sebelum itu pintu gol tuan rumah sendiri sempat cemas apabila percubaan James Tarkowski menggegar tiang.

Cody Gakpo kemudian menggandakan pendahuluan Liverpool menerusi gol pertamanya buat kelab itu pada awal babak kedua dan tiada sebarang ruang kebangkitan buat The Toffees, sekali gus kekal di zon penyingkiran berikutan kekalahan pertama di bawah pengurus baru, Sean Dyche.

Jurgen Klopp juga menerima perkembangan positif mengenai kecergasan pemain seperti Diogo Jota dan Roberto Firmino yang masuk sebagai pemain gantian dalam babak kedua, manakala Virgil van Dijk berada di bangku simpanan sebaik pulih daripada masalah hamstring.

Kemenangan itu membawa The Reds ke tangga kesembilan dan hanya enam mata di belakang kelab di tangga keempat, Newcastle United, sekiranya berjaya menewaskan barisan kendalian Eddie Howe berkenaan, Ahad ini.

Penjaring terbanyak Liverpool, Salah, memberitahu Sky Sports: "Ia adalah kemenangan yang amat bermakna buat kami. Kami mempunyai minggu yang sempurna untuk berlatih dan pemain sangat teruja.

"Kami begitu tidak sabar-sabar lagi untuk menghadapi perlawanan ini dengan harapan dapat mengubah segala-galanya.

"Semoga ini menjadi detik permulaan kebangkitan kami."

Dia menambah: "Saya sedar larian Darwin cukup deras jadi apabila pihak lawan melancarkan sepakan sudut, kami pula bermain satu-dua.

"Saya tahu dia akan menyusup ke ruang kosong jadi saya berlari sepantas yang boleh dan menjaringkan gol, itu perkara paling mustahak."