HALA tuju penyerang utama Liverpool, Mohamed Salah, masih menjadi tanda tanya susulan kontraknya bakal berakhir pada penghujung musim ini.

Selepas permulaan cemerlang musim 2024/25, pemain berusia 32 tahun itu masih mampu menawarkan persembahan memukau selain sudah mencatatkan tiga jaringan bertemu Ipswich Town, Brentford dan Manchester United.

Oleh demikian, dua Gergasi Eropah dilaporkan berminat menandatangani pemain kebangsaan Mesir itu pada musim depan jika persaraan bukan pilihannya.

Juventus dan Paris Saint-Germain (PSG) menunjukkan potensi untuk mendapatkan khidmat Salah bagi memperkuat pasukan masing-masing.

"Belum ada mana-mana kelab yang tampil menyatakan hasrat bercakap mengenai perjanjian, namun ia tetap terpulang kepada saya dan Liverpool untuk menentukannya," katanya.

Pengurus pasukan, Arne Slot, menegaskan bahawa Salah adalah seorang pemain The Reds dan akan komited membantu rakan-rakannya meraih kejuaraan. - Stadium Astro