UCL: Semusim menyepi, Liverpool kembali dengan aksi garang di San Siro
Mengubah suasana perlawanan, Ibrahima Konate menyamakan kedudukan pada minit ke-23 untuk menyempurnakan sepakan sudut Trent Alexander-Arnold.
Astro Arena
Wed Sep 18 2024
Pemain Liverpool Virgil van Dijk meraikan kejayaan menjaringkan gol kedua pasukannya ketika perlawanan UCL antara AC Milan dan Liverpool di San Siro, Milan, Itali, 17 Sept 2024. - REUTERS
LIVERPOOL meraikan sekembalinya mereka ke pentas Liga Juara-Juara dengan kemenangan 3-1 ke atas AC Milan di San Siro awal pagi tadi.
The Reds mempamerkan permulaan yang malang apabila Christian Pulisic melengkapkan serangan balas Milan seawal minit ketiga, yang dibantu dengan corak pertahanan Liverpool yang goyah selepas semusim tidak beraksi dalam pertandingan tersebut.
Skuad kendalian Arne Slot bagaimanapun mengubah suasana perlawanan, Ibrahima Konate menyamakan kedudukan pada minit ke-23 untuk menyempurnakan sepakan sudut Trent Alexander-Arnold.
Virgil van Dijk meletak Liverpool di hadapan apabila menanduk masuk sepakan sudut Kostas Tsimikas ketika perlawanan menuju separuh masa sebelum Dominik Szoboszlai memastikan kemenangan pada minit ke-67.
Ia merupakan perlawanan pertama Slot dalam aksi Liga Juara-Juara yang berakhir dengan kemenangan , dan menjadi respons terbaik pasukannya berikutan kekalahan 1-0 di tangan Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu lalu.