GARETH Bale sedia mempertimbangkan untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) sambil menyalahkan Real Madrid kerana tidak membenarkannya meninggalkan kelab itu lebih awal.

Pemain antarabangsa Wales itu hanya membuat 20 penampilan musim lalu dan meminta untuk dikecualikan ketika mereka menghadapi Manchester City dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) bulan lalu.

Dia hampir angkat kaki ke Liga Super China tahun lalu sebelum Madrid membatalkan kesepakatan tersebut pada saat-saat akhir dan sejak itu, dia dikaitkan dengan Manchester United dan bekas kelab, Tottenham.

Dengan jendela perpindahan sedang dibuka selama sebulan lagi, Bale mengakui kecewa kerana tidak dibenarkan meninggalkan kelab ibu kota Sepanyol itu.

"Saya cuba berpindah tahun lalu tetapi mereka menghalang segalanya pada saat-saat akhir. Ini adalah projek yang mengujakan saya tetapi tidak menjadi kenyataan," katanya kepada Sky Sports.


"Ada usaha yang lain untuk membolehkan saya berhijrah tetapi kelab tidak akan membiarkannya berlaku atau mereka akan melakukan sesuatu untuk menghalangnya. Terpulang kepada kelab.

"Saya mahu beraksi, saya masih mempunyai keinginan untuk beraksi jadi saya rasa ia terletak di tangan kelab ini. Mereka mengawal segalanya.

"Saya terikat dengan kontrak, apa yang cuma saya boleh lakukan ialah melaksanakan apa yang saya sedang lakukan dan semoga ada sesuatu yang positif akan muncul.

"Saya sudah berusia 31 tahun, saya masih dalam keadaan baik dan berasa masih banyak yang boleh disumbangkan. Kita lihat apa yang akan berlaku kelak.

"Ia terletak di tangan kelab ini tetapi mereka membuat perkara menjadi rumit kerana tidak bersikap jujur."

Ditanya mengenai prospek kembalinya ke Liga Perdana, Bale berkata: "Jika pilihan itu muncul, saya pasti akan mempertimbangkannya.

"Kami masih mempunyai banyak masa dalam jendela perpindahan ini dan beberapa perkara lain lagi.

"Masa akan memberitahu kita tetapi saya rasa punca utamanya kerana sebarang keputusan berada di tangan Real Madrid."

Bale, yang hanya diturunkan dua kali sebaik Madrid kembali menyambung baki kempen Jun lalu, tetap tersenarai dalam skuad Wales untuk menghadapi Liga Negara-Negara Eropah bertemu Finland dan Bulgaria, minggu ini.

"Kami semua fokus. Kami tidak mempunyai banyak masa untuk membuat persiapan untuk perlawanan ini. Saya belum sempat kembali berlatih -- saya baru pulang daripada bercuti.

"Saya memastikan diri tetap cergas sepanjang musim panas. Kami hanya perlu bersiap sedia untuk Euro tahun depan. Sebelum itu kami mempunyai banyak perlawanan dan ia bermula pada Khamis."