Tiga mata diraih The Red Devils membolehkan kelab yang diseliakan van Nistelrooy selepas pemecatan Erik ten Hag pada 28 Oktober lalu meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan kelab Greece, PAOK Thessaloniki, 2-0 dalam aksi Liga Europa, 8 November lalu.
Mata ke-15 selepas mengharungi 11 perlawanan meletakkan Manchester United di kedudukan ke-13 liga hasil empat menang, tiga seri, empat kekalahan.
Perlawanan menentang The Foxes kendalian Steve Cooper merupakan aksi ulangan kedua-dua pasukan selepas van Nistelrooy United yang menyingkirkan lawan sama 5-2 pada pusingan 16 Piala Liga di Old Trafford pada 31 Oktober lalu.
Rentak kemenangan bermula apabila dijelmakan hasil jaringan Bruno Fernandes yang menyempurnakan sentuhan Amad Diallo minit ke-17 untuk menewaskan penjaga gol Foxes, Mads Hermansen.
Fernandes sekali lagi menjadi pencetus kepada gol kedua Manchester United apabila sentuhan tonggak Portugal itu terbias Victor Kristiansen untuk jaringan sendiri pemain Foxes minit ke-38.
Separuh masa kedua, United meningkatkan tekanan yang akhirnya menyaksikan Alejandro Garnacho, berjaya memanfaatkan bantuan gol Fernandes minit ke-82 untuk jaringan ketiga pasukan tuan rumah.
United selepas ini akan berkunjung ke Portman Road berdepan Ipswich Town pada 25 November juga perlawanan yang dijangka dikendalikan pengendali baharu United, Ruben Amorim, 39, dari kelab Portugal, Sporting Lisbon, pengganti kekosongan ditinggalkan ten Hag baru-baru ini.
LIGA PERDANA INGGERIS
Keputusan
Manchester United 3-0 Leicester City
Nottingham Forest 1-3 Newcastle United
Tottenham Hotspur 1-2 Ipswich Town
- Sinar Harian