Gergasi LaLiga itu yang merupakan juara bertahan mengalami kekalahan kedua mereka dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu di Bernabeu.
Malick Thiaw membuka tirai jaringan untuk pelawat sebelum Vinicius Jr menyamakan kedudukan pada minit ke-23 selepas menyempurnakan sepakan penalti.
Bekas penyerang Real Madrid, Alvaro Morata menjaringkan gol untuk Milan meletakkan gergasi Itali itu mendahului 2-1 sebelum rehat separuh masa pertama sebelum pemain tengah, Tijjani Reijnders memastikan kemenangan bergaya pada minit ke-73.
Persembahan tidak bermaya dipamerkan Real itu hadir hanya seminggu selepas mereka ditewaskan 0-4 oleh pesaing utama mereka, Barcelona dalam La Liga.
Akhbar Sepanyol, Marca mendakwa Madrid kini sedang berada pada prestasi terendah dan Ancelotti bakal dipertanggungjawabkan susulan masalah dihadapi pasukan.
Los Blancos menikmati kempen sensasi musim lalu, memenangi La Liga dengan perbezaan 10 mata dan menang ke atas Borussia Dortmund dalam Liga Juara-Juara pada Jun.
Tetapi, gergasi Sepanyol itu bergelut untuk mencari rentak mereka sejak Kylian Mbappe menyertai mereka pada musim panas ini secara percuma daripada PSG.
Ancelotti telah ditugaskan untuk meletakkan Mbappe dalam kesebelasan utama biarpun pasukan itu sudah serasi dengan gandingan pemain seperti Jude Bellingham, Rodrygo, Vinicius Jr dan Federico Valverde.
Walaupun akhbar itu menyatakan bahawa Real Madrid tidak akan memecat Ancelotti, namun pengurusan tertinggi kelab mungkin terpaksa berbuat demikian sekiranya pasukan gagal kembali ke landasan kemenangan.
Real Madrid berada di tangga ke-17 daripada 36 dalam fasa pertama Liga Juara-Juara baharu, yang akan membawa mereka ke playoff dan di luar kelayakan automatik ke kalah mati sekiranya prestasi tidak konsisten mereka berterusan.
Sementara itu, dalam LaLiga, Barcelona sudah pun mencatat kelebihan sembilan mata ke atas pesaing ketat mereka, dengan Real Madrid menduduki tempat kedua hanya sedikit di depan Atletico Madrid. -- Sinar Harian