SAYA pergi ke universiti untuk mendalami ilmu seni digital lebih dua dekad yang lalu.

Semasa di kolej, Photoshop ialah perisian kegemaran saya kerana ia adalah yang paling berguna khususnya dalam pembangunan web dan karya digital.

Puluhan ciri yang diberikan perlu dikuasai sebelum karya yang mantap boleh dihasilkan dan kerap kali menyunting gambar adalah yang paling rumit.

Adobe Research telah menerbitkan kajian terbaharu mereka yang diberi nama Magic Fixup.

Menerusi Magic Fixup, suntingan gambar yang sebelum ini rumit dapat dipermudahkan sekali gus dipercepatkan dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).

Dengan Magic Fixup imej boleh disunting dengan ciri Copy and Paste sahaja dan ia akan secara automatik mengubah kawasan lain dalam gambar mengikut perubahan yang dilakukan.

Dalam contoh yang diberikan pantulan imej pokok di permukaan air diubah secara automatik selepas arah pokok diubah oleh pengguna.

Kemudian kepala singa dapat diubah suai dengan alat Transform dengan ruang kosong di mana kepala dipotong diisi dengan sendiri oleh Magic Fixup.

Magic Fixup unik kerana AI dilatih menggunakan set data dalam bentuk video dan bukannya imej statik.

Kerana ia memahami konteks perubahan yang berlaku apabila objek bergerak, ia boleh melakukan perubahan pada imej statik secara lebih realistik berbanding model yang dilatih menggunakan gambar.

Ciri ini boleh diuji oleh mereka yang berminat menerusi pautan di bawah. -Amanz