PUTRAJAYA: Kecekapan penyampaian perkhidmatan awam di Jabatan Wilayah Persekutuan akan terus dipertingkatkan selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula 1 Dis ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan melakukan reformasi terutama dari aspek perkhidmatan seperti pelesenan yang mengambil masa panjang.

"Selepas pengumuman pengenalan SSPA kita kena pertingkatkan lagi kecekapan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat. Dari sudut perkhidmatan, contohnya pelesenan yang mengambil masa panjang, ini perlu buat reformasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas perasmian Floria Diraja Putrajaya 2024 yang disempurnakan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di Persisiran Tasik, Presint 2 di sini hari ini.

Zaliha berkata perkhidmatan kepada rakyat perlu ditambah baik agar lebih cepat dan cekap selaras dengan kenaikan gaji yang akhirnya menguntungkan penjawat awam kerana kerja tidak tertangguh, manakala rakyat gembira dengan perkhidmatan yang diterima.

Pelaksanaan SSPA menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 pada 16 Ogos lepas dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam di Malaysia.

SSPA menjanjikan pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana, manakala tujuh peratus kepada pengurusan tertinggi.

Dalam pada itu, Zaliha berkata rakyat juga perlu memainkan peranan mendukung polisi kerajaan khususnya berkaitan Wilayah Persekutuan, contohnya program "waste to wealth" supaya PBT dapat melaksanakan inisiatif itu dengan baik.

Selain itu, beliau berkata pendekatan "no wrong door policy" juga dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan memandangkan orang awam ditolak untuk mendapatkan perkhidmatan di kaunter.

"Kita sebagai pemberi khidmat kena bantu (rakyat), kemesraan penjawat awam dan rakyat perlu ada. Di Wilayah Persekutuan, kita perkenalkan budaya kerja harmoni, hormat-menghormati dan memberi perkhidmatan secara adil, responsif serta mampan termasuk nilai-nilai ihsan," katanya.

Sementara itu, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud berkata keunikan SSPA ialah mempunyai elemen denda dan ganjaran bagi memastikan petugas yang kurang memberi perkhidmatan atau melakukan kesalahan dikenakan tindakan lebih tegas.

"Ini penambahbaikan untuk agensi termasuk PPj. Kita harap melalui SSPA petugas akan memberi perkhidmatan dengan lebih baik, berdisiplin dan produktiviti PBT seperti PPj terus meningkat," katanya.

Fadlun berkata PPj sentiasa membuat penambahbaikan dari segi prosedur dan kelulusan bagi kemudahan berniaga.

Beliau berkata perbadanan itu akan melancarkan "Putrajaya Urban Observatory" yang memainkan peranan antara lain memendekkan masa memproses kelulusan pembangunam dan pengembangan perniagaan kurang daripada 10 hari berbanding 30 hari sebelum ini.

"Orang awam boleh terus ke Putrajaya Urban Observatory bagi mendapatkan maklumat daripada PPj tanpa bayaran termasuk mengenai kemudahan utiliti, infrastruktur dan acara. Ia merupakan teknologi AI (kecerdasan buatan) dan digital selaras dengan Putrajaya Bandar Pintar,"katanya.

-- BERNAMA