JOHOR BAHRU: Kewujudan rangkaian 5G kedua, U Mobile Sdn Bhd mampu memberikan impak positif kepada pengguna dan sektor industri.

Perkembangan ini sekali gus mengukuhkan ekonomi negara dan berdaya saing di pasaran dunia dalam mencapai taraf ekonomi yang setanding dengan negara maju.

Felo Penyelidik Pusat Komunikasi Wayarles, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Leow Chee Yen berkata, berdasarkan rekod prestasi syarikat telco itu diharapkan dapat terus berinovasi untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua dengan kecekapan dan efisien paling tinggi yang mampu menunjukkan kelebihan rangkaian 5G yang sebenar.

Katanya dengan kewujudan rangkaian yang baharu ini, kehendak pasaran dan keperluan pengguna dapat dipenuhi dengan memanfaatkan kelebihan teknologi 5G seperti kelajuan, kestabilan, liputan, kecekapan tenaga dan sebagainya.

"Ia juga memudahkan kehidupan harian, meningkatkan produktiviti kerja, mempercepatkan pendigitalan pelbagai bidang, memesatkan penggunaan teknologi digital dan teknologi canggih industri. Yang mana taraf hidup masyarakat dapat dipertingkat dan membangunkan ekonomi negara secara keseluruhanya,"katanya ketika ditemui di Pusat Komunikasi Wayarles, Fakulti Kejuruteraan Eletrik, UTM.

Menurut Chee Yen, penambahbaikan rangkaian 5G ini dapat memastikan kebolehcapaian kestabilan rangkaian 5G, Internet mudah alih dapat dinikmati di setiap masa di mana-mana sahaja dengan kos yang berpatutan.

Katanya, penambahbaikan ini juga memberikan impak positif kepada sektor industri kecil dan sederhana (PKS) dan seterusnya menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam perniagaan mereka.

"Sebelum ini, mereka (PKS) menghadapi masalah seperti kekangan teknikal dan juga kekangan kos yang menghalang penggunaan teknologi-teknologi baharu.

"PKS dalam bidang perkhidmatan, mereka boleh memanfaatkan keupayaan 5G dari segi kelajuan, kestabilan dan liputan yang luas untuk menawarkan pelbagai solusi digital.

"Antaranya pemasaran digital, pembayaran elektronik, persidangan video secara definasi tinggi, teknologi realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR), teknologi kolaboratif secara jarak jauh dan kecerdasan buatan generatif (Generative AI).

"Kemudahan ini dapat meningkatkan produktiviti, menaikan jualan serta menambah baik pengalaman pelanggan dan ini secara langsung meningkatkan prestasi perniagaan mereka secara keseluruhannya," katanya.


Chee Yen menunjukkan Hotspot UAV yang akan digunakan semasa komunikasi kecemasan.

Mengulas lanjut, Chee Yen berkata sektor PKS daripada bidang pembuatan dan pengilangan, golongan itu boleh memanfaatkan keupayaan teknologi 5G dengan menawarkan untuk membuat sambungan kepada pelbagai mesin dan peralatan Internet benda (IoT) menggunakan teknologi canggih seperti automasi, robotik, kecerdasan buatan dan kembar digital untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan proses pembuatan.

Selain itu, Chee Yen turut memaklumkan kestabilan rangkaian 5G ini mampu membuka peluang persaingan untuk Malaysia di rantau ini.

Chee Yen menjelaskan, ketersediaan dan kestabilan rangkaian 5G memberi manfaat bukan sahaja dari segi aspek teknikal tetapi juga dari aspek komersial.

"Dengan adanya dua rangkaian 5G, kita boleh dapat memastikan kestabilan, kebolehcapaian, kebolehpercayaan sambungan 5G dapat dijamin setiap masa.

"Sebagai contoh, kalau satu rangkaian 5G menghadapi masalah teknikal, rangkaian yang satu lagi boleh digunakan menjadi pengganti serta merta tanpa menjejaskan sambungan sedia ada dan saling melengkapi untuk memberi liputan yang meluas kepada pengguna,” jelas beliau.

Manakala, dari segi aspek komersial, rangkaian 5G kedua juga dapat menggalakkan persaingan yang sihat antara dua syarikat pengendali 5G untuk memperbaiki rangkaian daripada sebarang kekurangan dengan menggunakan teknologi terkini serta berusaha untuk menawarkan perkhidmatan inovatif dan berkualiti tinggi kepada pengguna.

Katanya juga, rangkaian 5G tersebut akan mempercepatkan pendigitalan pelbagai sektor ekonomi dan pelaksanaan kes-kes penggunaan industri dan perusahaan canggih yang memerlukan rangkaian yang responsif dan berdaya tinggi.

Malahan, dua rangkaian 5G ini juga dapat memberi manfaat kepada industri tempatan supaya terus berdaya saing bukan sahaja di pasaran tempatan tetapi di pasaran global.

"Ketersediaan dua rangkaian 5G akan membantu usaha kerajaan dalam menarik pelabur luar negara terutamanya syarikat yang berasaskan teknologi tinggi untuk membuat pelaburan di Malaysia dengan mendirikan fasiliti, kemudahan cawangan, kilang, atau perniagaan di Malaysia secara langsung dapat mengukuhkan ekonomi Malaysia," katanya.